Slogan InikanBola Slogan InikanBola
UKM FC
Mon, 9, Oct, 2017, 10:00 AM | Oleh

Tak Guna Kalau Pasukan Kita Besar Tapi Hati Kita Tak Besar

“Tak guna kalau pasukan kita besar tapi hati kita tak besar, kalau nak main dalam liga perdana hati kita kena besar”

Itulah kata kata semangat yang dilaungkan oleh jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin sebelum perlawanan separuh akhir kedua Piala FAM antara UKM FC menentang Shahzan Muda FC. Terikat 0-0 pada perlawanan separuh akhir pertama, kedua dua pasukan turun penuh semangat untuk merebut satu slot ke saingan Liga Perdana 2018. Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium UKM,Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi itu disaksikan hampir 1000 penyokong kedua dua pasukan walaupun sepak mula pada pukul 4.15 petang.

Aksi serang meyerang dipamerkan kedua dua pasukan pada separuh masa pertama perlawanan. Kedua-dua pasukan sering berbalas serangan dengan pasukan Shahzan Muda lebih banyak mengasak kubu tuan rumah namun barisan pertahanan UKM FC ampuh bertahan. Kedua dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Masuk babak separuh masa kedua, UKM FC melakukan beberapa pertukaran pemain untuk memantapkan permainan pasukan. Hasilnya, UKM FC lebih banyak melakukan serangan ke kubu pertahanan pasukan Shahzan Muda FC namun dihampakan dengan penyudah yang kurang berkesan. Hujan renyai mengiringi perjuangan UKM FC sepanjang separuh masa pertama. UKM FC seakan sudah bersedia dengan cuaca hujan dimana rentak permainan mereka semakin meningkat diatas padang yang basah. Permainan sengit separuh masa kedua tamat dengan keputusan 0-0.

Perlawanan seterusnya dilanjutkan ke masa tambahan 30 minit. Permainan di masa tambahan menyaksikan UKM FC masih bertenaga untuk mengasak kubu pasukan pelawat. Manakala pasukan Shahzan Muda dilihat agak keletihan selepas berhempas pulas dalam 90 minit permainan. Ketika permainan seakan ditentukan dengan sepakan penalti, Faidzol Fazreen muncul wira UKM FC apabila berjaya menjaringkan gol melalui tandukan deras menerjah jaring hasil daripada sepakan sudut.

Namun, Shahzan Muda FC tidak mudah berputus asa. Tersentak dengan jaringan tersebut, mereka menggandakan asakan ke kubu tuan rumah namun dihampakan dengan kecekapan penjaga gawang UKM FC, Wak. Keputusan masa tambahan kekal UKM FC 1-0 Shahzan Muda FC untuk UKM FC mengesahkan tempat ke Liga Perdana 2018.

UKM FC mencipta sejarah untuk buat pertama kalinya layak ke Liga Perdana. Mereka bakal menemani satu lagi pasukan IPT di Liga Perdana iaitu UiTM FC. Namun, perjuangan mereka masih belum selesai, UKM FC bakal membuat perhitungan dengan Sime Darby FC untuk menentukan juara Piala FAM 2017. Sime Darby FC juga layak setelah menewaskan Felcra FC 1-0.

Pujian juga harus diberikan kepada penyokong kedua dua pasukan yang tidak berganjak walaupun hujan turun membasahi UKM. Masing masing bersemangat dan berdebar untuk menyaksikan pasukan mana yang akan “dinaikkan pangkat” ke Liga Perdana 2018.

(Visited 19 times, 1 visits today)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up