Perlukan keajaiban. Itulah perkara yang skuad negara perlukan untuk layak ke Piala Asia 2019 apabila tewas 2-0 kepada Hong Kong dalam perlawanan kelayakkan Piala Asia semalam. Malaysia kekal berada di tangga tercorot kumpulan B apabila hanya mampu mengutip 1 mata dari tiga perlawanan sebelum ini.

Anak-anak buah Nelo Vingada berjaya memberikan cabaran dan menyerap asakan yang diberikan oleh pemain Hong Kong pada 40 minit yang pertama. Walaupun bermain tanpa penyerang, pemain negara masih lagi mampu untuk menciptakan peluang dan mengancam kubu pertahanan Hong Kong. Sehinggalah pada minit ke-41. Pemain yang sudah sinonim dengan kad merah dalam skuad kebangsaan, merangkap ketua pasukan, Safiq Rahim memijak pemain Hong Kong, Jordi Tarres. Hasilnya, tak lain dan tak bukan, kad merah. Setelah layangan kad merah kepada Safiq, gawang Malaysia dibolosi menerusi Jordi Tarres. Bersambung babak kedua, James McKee menambah gol kedua bagi Hong Kong.

Laluan Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2019 nampaknya semakin berliku dan sukar. Malaysia wajib menang dalam dua perlawanan ke atas Korea Utara dan juga perlawanan di tempat lawan menentang Lebanon. Selain itu, skuad kebangsaan juga mengharapkan pasukan lain dalam kumpulan tercicir mata. Satu misi yang agak sukar bagi skuad kebangsaan. Diharapkan Nelo Vingada segera mendapatkan ramuan terbaik bagi membolehkan Malaysia mengutip kemenangan pertama dalam kempen kelayakan.

Jika kita lihat dari segi positif, pada perlawanan semalam, kita dapat melihat corak permainan cemerlang yang ditunjukkan oleh Syameer Kuty Abba. Pemain berusia 20 tahun ini mengawal bahagian tengah dengan baik. Walaupun beliau baru membuat penampilan pertama beliau bersama pasukan senior, namun beliau kekal tenang dan memberikan focus sepenuhnya. Kami di Inikan Bola berharap Syameer dapat mengekalkan prestasi cemerlang beliau bersama skuad kebangsaan.

Leave a Reply