Ranking terbaru FIFA telah diumumkan dan Malaysia tidak berganjak dari kedudukan ke-166. Bukan perkara asing bagi skuad negara untuk berada di sekitar kelompok yg ke-150 ke atas di dalam ranking dunia. Namun, kita pernah berada dalam kelompok 100 terbaik, malah 70 terbaik dunia satu ketika dahulu, sebaris dengan gergasi-gergasi bolasepak Asia seperti Arab Saudi, Korea dan sebagainya. Apakah punca Malaysia tidak mampu berganjak ke hadapan seperti Korea dan lain-lain?

Jose Mourinho, dan 4-2-3-1.

Arsene Wenger pernah datang ke Malaysia bersama Arsenal untuk bertemu dengan skuad negara dalam perlawanan persahabatan tidak lama dahulu. Antara komen Wenger apabila ditanya tentang kualiti pasukan negara ialah beliau berpendapat bahawa pemain-pemain kita mempunyai kebolehan teknikal, tetapi Transisi dalam permainan kita tidak begitu baik. Apakah yang dimaksudkan oleh Wenger mengenai Transisi?

Berbalik kepada Jose Mourinho, bagi menjelaskan persoalan Wenger tentang Transisi permainan, falsafah permainan Jose Mourinho boleh digunakan sebagai premis untuk menerangkan secara mudah apa itu Transisi. Jose Mourinho merupakan seorang jurulatih yang mempunyai track record dan CV yang sangat menarik dalam bolasepak dunia. Beliau pernah mengecap kejayaan bersama-sama kelab yang terhebat di dunia. Bermula sebagai penterjemah di Barcelona, kejuaraan Champions League bersama Porto, dan pelbagai kejuaraan bersama Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United. Apabila melihat skuad-skuad Jose Mourinho yang beliau pernah bawa, mereka mempunyai satu persamaan, skuad Mourinho mempunyai tulang belakang pasukan dan bermain secara mudah. Di Porto, mereka mempunyai Ricardo Carvalho, Costinha, Deco dan Derlei. Chelsea mempunyai John Terry, Claude Makalele, Frank Lampard dan Didier Drogba ketika kali pertama Mourinho di sana, John Terry, Nemanja Matic, Fabregas dan Diego Costa sewaktu beliau kembali. Inter Milan memenangi Champions League dengan Walter Samuel, Esteban Cambiasso, Wesley Sneijder dan Diego Milito. Real Madrid mempunyai Sergio Ramos, Xabi Alonso, Luka Modric dan Mesut Ozil. Ada di antara pemain-pemain ini merupakan lagenda dalam dunia bolasepak dan ada juga yang kurang dikenali, namun, mereka ini merupakan pemain penting buat Mourinho. Jika difikirkan dengan lebih mendalam, sebenarnya kesemua pemain yang disebut selalunya posisi mereka di atas padang ialah di tengah-tengah formasi pasukan. Mereka inilah sebenarnya Backbone kepada pasukan tersebut. Bintang-bintang seperti Cristiano Ronaldo, dan Eden Hazard tidak mungkin akan dapat menyinar tanpa pemain-pemain ini di dalam sistem Mourinho.

Kenapa Backbone atau tulang belakang pasukan begitu penting dalam sistem permainan Mourinho? Kita perlu merujuk kepada asas permainan bolasepak untuk menjawab persoalan tersebut. Secara asasnya, bolasepak adalah sukan yang dimainkan oleh 22 orang pemain di atas padang dengan objektifnya siapa yang menjaringkan lebih banyak gol akan menang (kalah buka baju kalau main kat kampung). Untuk memenangi sesuatu perlawanan bolasepak, sesuatu pasukan perlu menggerakkan bola ke hadapan untuk menjaringkan gol dan mengelakkan pasukan lawan melakukan perkara sama untuk mengelak daripada dibolosi. Pergerakan menggerakkan bola ke hadapan dan meyekat lawan inilah yang dipanggil sebagai Transisi. Di sinilah pentingnya pemain-pemain yang bertindak sebagai tulang belakang pasukan ini. Semua aksi permainan bergerak di sekeliling mereka. Kelancaran pergerakan pasukan dalam sesuatu permainan ditentukan oleh pemain-pemain ini. Musim ini di Manchester United, Jose Mourinho membawa masuk Victor Lindelof, seorang Ball Playing Defender dari Benfica yang merupakan pemain pertahanan dengan ketepatan hantaran antara yang terbaik di Eropah musim lalu. Beliau juga membawa masuk Nemanja Matic, yang disifatkan sebagai ‘Mourinho guy’ serta Romelu Lukaku dari Everton. Peminat-peminat bolasepak, Manchester United khususnya pasti tertanya-tanya, kenapa Lindelof? Kenapa Matic? Kenapa Lukaku? Ini adalah kerana musim lalu, Marcos Rojo bermain dengan cemerlang, namun beliau bukan pemain yang begitu bagus dengan bola untuk menjadi sebahagian tulang belakang pasukan. Musim lalu juga menyaksikan bahawa Paul Pogba beraksi lebih sebagai double pivot bersama Ander Hererra, manakala Zlatan Ibrahimovic sudah hampir ke penghujung karier dan mengalami kecederaan jangka masa panjang. Musim ini Manchester United lebih stabil hampir di kesemua bahagian dan beraksi lebih lancar. Ini adalah kerana Jose Mourinho telah menambah baik tulang belakang pasukan beliau dengan pemain-pemain ini sekaligus memperbaiki Transisi permainan mereka berbanding musim lalu.

Jika kita lihat dalam aksi menentang juara 2 musim lalu, Leicester City, Matic, Pogba dan Mkhitaryan sentiasa berada dalam kedudukan hampir selari dan menguasai bahagian-bahagian padang di antara pemain penyerang, tengah dan pertahanan pasukan Leicester City yang mengenakan pressing untuk merampas bola. Di sinilah berpusatnya pergerakan permainan mereka. Daripada kedudukan tersebutlah mereka menggerakkan bola ke segenap penjuru padang dan membekalkan pemain-pemain yang mempunyai kemahiran teknikal tinggi seperti Martial, Rashford dan Mata untuk memecah benteng pertahanan Leicester City.

Tulang Belakang dan Transisi Skuad Kebangsaan

Suatu masa dahulu Malaysia adalah pasukan yang digeruni di Asia. Kita memiliki pemain-pemain hebat seperti Santokh Singh, Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim, dan ramai lagi. Mereka inilah yang membentuk tulang belakang pasukan negara dan membawa pelbagai kejayaan kepada negara. Namun, sejak akhir 90an hinggalah sekarang, tidak banyak pencapaian yang boleh dibanggakan dan kita hanya mampu bersaing di peringkat Asia Tenggara sahaja. Persoalannya mengapa?

Jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada telah membariskan pemain-pemain seperti Aidil Zafuan, Kiko Insa, Amirul Hadi dan Syafiq Rahim dalam kesebelasan utama untuk beberapa perlawanan antarabangsa yang lepas. Tidak dinafikan, pemain-pemain ini adalah yang terbaik di Malaysia dan mempunyai pengalaman luas, namun kita masih gagal untuk menyaingi pasukan dari Timur Tengah, malah Hong Kong juga. Aidil dan Shahrom Kalam merupakan pertahanan yang kuat dari segi duel dan mempunyai kemahiran teknikal yang agak baik. Akan tetapi mereka bukanlah berada di tahap yang membolehkan kita menyaingi gergasi Asia lain. Aidil contohnya, memiliki kemahiran Fizikal (strength, stamina, jumping) yang baik serta memiliki kemahiran Mental (Concentration, Anticipation, Leadership) yg juga baik, tetapi bukan merupakan passer yang baik untuk melakukan build up attack dari bawah. Kiko Insa mempunyai kelebihan Fizikal tetapi tidak begitu bagus dari segi Teknikal dan Mental attributes. Syafiq Rahim adalah antara pemain terbaik, tetapi sudah berumur 30 tahun. Ianya bukanlah isu pemain yang disebut tidak bagus, manakala pemain yang tidak disebut bagus. Mereka hanya merupakan contoh, dan seperti yang disebut, mereka memiliki kualiti dan kelebihan mereka masing-masing, namun tidak cukup untuk membolehkan kita bersaing dengan gergasi Asia lain. Sudah tentu, pemain-pemain negara telah bermain sepenuh hati untuk negara, sesuatu yang patut dihargai dan dihormati. Bolasepak adalah sukan yang kejam. Kadangkala, semangat dan usaha sahaja tidak dapat mengatasi kemahiran asas yang dimiliki oleh lawan. Hakikatnya, kita tidak mempunyai asas yang cukup untuk membentuk tulang belakang pasukan negara yang bertanggungjawab mencorak permainan sesuatu pasukan. Bagaimana kita boleh mempamerkan permainan berkualiti tanpa Transisi yang lancar, disokong oleh Backbone yg kukuh.

Kegagalan pembangunan akar umbi adalah punca kepada permasalahan ini. Bermain untuk menang menggunakan hantaran lambung merupakan amalan kebiasaan di peringkat sekolah. Pemain-pemain dilatih sebegitu sejak awal, maka bukan sesuatu perkara yang pelik untuk kita melihat permainan begitu masih dipamerkan sehingga sekarang. Kanak-kanak yang dapat mewakili sekolah masing-masing juga hanya mempunyai 3-4 perlawanan rasmi setahun untuk menyerlahkan bakat mereka, dan jikalau layak ke peringkat seterusnya barulah mereka dapat lebih banyak perlawanan (belum masuk bab main pakai kabel atau anak penghulu dapat jadi kapten). Di sinilah keciciran bakat berlaku. Pasti ada di antara kita mempunyai rakan yang sangat berbakat dan bagus sewaktu sekolah dahulu tetapi sekarang berkhidmat sebagai Pegawai Polis, Jurutera, Petani dan sebagainya. Pembagunan akar umbi ini akan diterangkan dalam artikel seterusnya.

Kesimpulannya membentuk Backbone untuk pasukan negara bukanlah tanggungjawab individu atau persatuan/kelab sahaja. Ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan haruslah bermula dari tahap yang paling bawah. Untuk membolehkan kita kembali bersaing di peringkat antarabangsa, kita harus mula membentuk tulang belakang pasukan kebangsaan. Ianya adalah proses yang memakan masa. Oleh itu, proses ini harus dimulakan sekarang, bukan esok, bukan 10 tahun atau 30 tahun lagi.

Leave a Reply