Setelah Malaysia tewas kepada Hong Kong pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 beberapa hari lepas, ada cakap-cakap mengenai ketua jurulatih negara, Nelo Vingada agar meletakkan jawatan dan digantikan dengan jurulatih lain. Antara individu yang mahu Nelo Vingada digantikan ialah bekas pertahanan negara, Shebby Singh. Shebby mengatakan bahawa Vingada tidak membawa sebarang impak semenjak mengambil alih skuad kebangsaan.

Rekod Vingada bersama skuad kebangsaan setakat ini memang tidak begitu baik. Pasukan kebangsaan kalah empat dan hanya mampu seri satu perlawanan dalam lima perlawanan di bawah kendalian Vingada. Jumlah gol yang dijaringkan oleh barisan serangan skuad kebangsaan juga kurang memuaskan. Dalam peringkat kelayakan Piala Asia, skuad kebangsaan hanya menjaringkan dua gol. Selain itu, pasukan kebangsaan juga dibolosi sebanyak lima kali setakat ini.

Memang tidak dinafikan. Banyak juga faktor yang boleh dijadikan alasan untuk Nelo Vingada digantikan dengan jurulatih yang lain. Ketiadaan penyerang yang boleh menggalas tugas sebagai peledak utama. Selain itu, dua perlawanan pertama Vingada ialah melawan Syria dan Lubnann. Dua pasukan yang kita sudah sedia maklum lebih hebat dari kita. Tambahan pula, ada beberapa pasukan yang tidak mahu melepaskan pemain mereka untuk menyertai skuad kebangsaan. Tindakan ini sudah pasti memberi kesan kepada perancangan Vingada dan juga memberi kesan kepada prestasi skuad kebangsaan.

Patutkah Nelo Vingada digantikan? Tidak perlu. Menurut kami, peminat dan juga pengkritik harus memberikan Vingada lebih masa untuk membuktikan bahawa beliau adalah orang yang tepat untuk jawatan ini. Ya kami tahu peminat sudah berasa kecewa. Ada yang sudah mengangkat bendera putih dalam menyokong pasukan kebangsaan. Akan tetapi, siapa lagi yang akan memberikan sokongan kepada mereka kalau bukan kita? Siapa lagi yang mahu datang ke stadium untuk bersorak ketika mereka bermain kalau bukan kita? Sekian dari kami.

Leave a Reply