Semalam kami mengeluarkan artikel tentang perbandingan antara Ken Ilso Larsen dan Mohammed Ghaddar. Pada penulisan kali ini, kami ingin membawakan perbandingan antara perancang utama kedua-dua pasukan iaitu Gabriel Guerra dan Sandro Da Silva. Kedua-dua pemain ini menjadi nadi dalam merencanakan gerakan serangan bagi pasukan masing-masing dalam saingan Liga mahupun Piala Malaysia musim ini.

Mari kita mulakan. Dalam saingan Liga Super, Sandro berjaya menjaringkan sebanyak 8 gol bagi pasukan Kedah. Manakala Guerra pula berjaya menjaringkan 7 gol dalam bagi JDT. Jumlah gol kedua-dua pemain ini tidak begitu banyak. Akan tetapi, kedua-dua pemain ini memainkan peranan besar dalam membantu penyerang utama pasukan untuk menjaringkan gol.

Seterusnya, dalam saingan Piala Malaysia pula, Sandro berjaya menjaringkan 9 gol setakat ini. Dua gol beliau dalam perlawanan separuh akhir kedua ketika menentang Felda United meletakkan beliau sebagai penjaring terbanyak mengatasi pemain Perak, Gilmar Da Silva. Gabriel Guerra pula hanya berjaya menjaringkan 3 gol setakat ini. Satu gol beliau ketika menewaskan Perak dalam perlawanan separuh akhir kedua menamatkan kemarau jaringan beliau sepanjang 10 perlawanan.

Pemain mana yang lebih menyerlah pada perlawanan akhir pada esok ? Adakah Sandro dan Ken Ilso akan mengkucar-kacirkan pertahanan JDT? Atau Gabriel Guerra dan Mohammed Ghaddar yang akan memberikan masalah kepada barisan pertahanan Kedah? Lontarkan pandangan anda!

Leave a Reply