Slogan InikanBola Slogan InikanBola
Berita Daily
Fri, 17, Nov, 2017, 10:49 AM | Oleh

Mengapa City-based Football Club Lebih Relevan Di Malaysia Berbanding Yang State-based Fooball Team

Apabila menulis mengenai topik ini, kebanyakkan penyokong bolasepak Malaysia akan berteriak menjerit-jerit dengan mengatakan sistem bolasepak terkini adalah baik. Ada pula jenis fanatik dengan pasukan negeri akan berusaha habis-habisan menolak idea yang dianggap mereka bobrok dan bisa menolak pasukan negeri mereka ke lembah yang hina.
Kita tak boleh menafikan sistem ini digunapakai oleh bolasepak Jerman, malah bolasepak Inggeris (tuan yang mengenalkan kita dengan bolasepak), jika tidak mungkin permainan bolasepak dikenalkan kepada kita dengan lebih lewat dan kita mungkin lebih suka bermain gasing dan lumba lari dalam guni.

Bolasepak Malaysia secara umumnya dikaitkan dengan negeri, atau hampir semua sukan di Malaysia pun dibahagikan dengan negeri, kalau adik anda gempak main bola baling, mungkin dia akan mewakili Kedah (hanya jika adik anda bersekolah di Kedah). Begitulah juga sembangnya mengenai bolasepak, tiada bezanya. Bolasepak di Tanah Melayu dimainkan secara rasminya seawal tahun 1921 dengan Piala HMS Malaya dimainkan dengan Singapura menang ke atas Selangor dengan jaringan 2-1 di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur. Pada zaman itu juga, mungkin anak anak di jalanan lebih suka main sorok-sorok serta laying-layang di Terengganu & Kelantan khususnya.

Terkini, bolasepak Malaysia dibahagikan mengikut negeri, yang mana penyokong juga dibahagikan mengikut negeri. Mungkin sekitar tahun 80an, ini merupakan sesuatu yang relevan. Persatuan Bolasepak Negeri menguruskan sebuah pasukan bola sepak, adalah perkara biasa. Namun, dengan arus kepesatan bolasepak moden, ramai bakat tersingkir sebelum dia sempat menyinar, disebabkan jumlah pasukan yang sedikit.
Baru-baru ini, FMLLP serta TMJ menyebut akan mewujudkan sebuah lagi liga divisyen 4 di kala bolasepak Malaysia sedang mempunyai pelbagai masalah dari segi kewangan dan pengurusan hatta di peringkat divisyen tertinggi. Penubuhan divisyen 4 mungkin mengangkat aspirasi rakyat marhaen tetapi di ketika beberapa pasukan di Liga Super masih diuruskan dengan banyak kesilapan berulang.

Dengan pasukan city-based FC menggantikan state-based FC, seperti mana saya memetik dari buku “Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia” oleh Lucius Maximus, pasukan berasaskan daerah/bandar ini boleh menggantikan pasukan negeri mereka dengan cara kelab bolasepak dari ibu negeri secara langsung menggantikan pasukan negeri. Ini juga boleh membezakan antara persatuan bolasepak dan juga kelab bolasepak. Ya, macam PBNJ mewujudkan JDT FC adalah perkara yang betul tetapi, JDT FC skopnya lebih meluas. Adakah penyokong JDT FC di Mersing mampu untuk turun ke setiap perlawanan di Stadium Tan Sri Haji Abdul Hassan Yunos, Larkin?

Jika kita melihat dari perspektif penyokong bolasepak Sarawak FA yang tinggal di Miri, untuk ke Kuching bagi melihat perlawanan yang mana Sarawak FA menjadi tuan rumah, RM200 harus dikeluarkan menaiki kapal terbang, dan jika menaiki kereta, lebih kurang 12 jam perjalanan. Adakah itu sesuatu yang berbaloi?

Dengan penubuhan kelab-kelab berasaskan bandar, ini memberikan sense of belonging kepada penyokong-penyokong bolasepak di bandar tersebut. Miri FC mesti akan menjadi satu pasukan yang disokong oleh seluruh penduduk bandar Miri. Selain itu, penduduk Kuantan mesti akan menyokong Kuantan FA. Eh? Kurang penyokong untuk Kuantan FA terkini di Liga Perdana?

Realitinya, penduduk Kuantan masih menyokong Pahang FA yang merupakan pasukan terbesar di negeri Pahang, begitu juga ketika Felda United FC merupakan pasukan terkuat di Pahang. Ini adalah realiti pahit untuk kita telan. Mentaliti ‘menyokong ketika menang, maki ketika kalah’ adalah sesuatu yang biasa serta makanan ruji pemain bolasepak kita. Ketika perlawanan akhir, berpusu-pusu penyokong hadir memberikan sokongan.

Ketika tiada penaja besar berminat untuk menaja pasukan negeri kita, haruslah kita berpaksikan kepada alternatif ketika kita sedang berada di era kelab berasaskan bandar. Empayar kain Jakel sudah tentu berminat untuk menaja Segamat FC, manakala pelbagai syarikat korporat boleh menaja pasukan Shah Alam Antlers FC, Petronas mungkin senang hati untuk mengeluarkan RM5 juta untuk menaja Kerteh United FC serta Dimmu Bangi mungkin boleh mendapatkan penajaan besar daripada Sony yang merupakan kilang pengeluaran yang terbesar di sana.
Era kelab berasaskan bandar merupakan satu impian daripada sesetengah dari kita. Untuk memerincikan lagi, struktur liga harus segera diubah, dengan meletakkan 16 pasukan di Liga Super, yang mana membolehkan 30 perlawanan liga sekurang-kurangnya dapat dimainkan dengan 2 pasukan akan tersingkir serta. Untuk Liga Perdana pula, jumlah pasukan yang boleh bermain adalah 18 pasukan serta dua pasukan akan dipromosi serta 3 pasukan akan tersingkir di pengakhiran musim.

Untuk Liga FAM, struktur liga boleh digunakan dengan 32 pasukan yang dibahagikan dengan 2 liga iaitu Liga Semenanjung Malaysia serta Liga Malaysia Timur, yang mana juara setiap liga akan dinaikkan secara automatik, dan 4 pasukan yang berada di tangga kedua dan ketiga akan merebut 1 slot playoff untuk ke Liga Perdana manakala 8 pasukan akan tersingkir di akhir musim.

Liga Wilayah pula membahagikan 120 pasukan dari 6 liga yang mana boleh dibahagikan daripada Liga Wilayah Barat, Liga Wilayah Selatan, Liga Wilayah Utara dan Liga Wilayah Timur serta Liga Sarawak dan Liga Sabah. Juara liga-liga ini akan dipromosi secara automatik dan 2 slot akhir adalah untuk enam pasukan yang menduduki tangga kedua serta 2 pasukan terbaik dari enam pasukan ditangga ketiga.
Untuk menjadi sebuah kuasa bolasepak besar, semua kelab di Liga Super & Liga Perdana haruslah mempunyai Lesen Kelab AFC. Manakala kelab di Liga FAM serta Liga Wilayah pula perlu sekurang-kurangnya mempunyai Lesen Kelab FAM. FAM serta FA Negeri boleh mengawal selia liga-liga ini serta akademi dan sebagainya daripada urusan yang tidak sepatutnya iaitu menguruskan pasukan bolasepak negeri kerana bolasepak kini telah berasaskan bandar.

Mimpi ini tidak mungkin boleh menjadi realiti tanpa sokongan, namun inilah satu perkara yang penulis rasa harus segera kita rombak dan harus sebenarnya kita renungkan bersama sebelum bolasepak kita lagi terkebelakang.

Catatan: Artikel diatas ditulis oleh Saudara Azman Mukhsin. Jika anda mempunyai sebarang artikel yang ingin dihantar, hubungi kami melalui laman media sosial Inikan Bola.

(Visited 285 times, 1 visits today)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up