Dalam artikel ini, penulis menyenaraikan antara 10 detik paling diingati, menarik dan bersejarah telah berlaku dalam arena bola sepak Malaysia sepanjang tahun 2017.

 10. Empat pasukan dipotong mata ekoran gagal serah dokumen

Kelantan dan T-Team dari Liga Super serta Perlis dan ATM (Liga Premier) dihukum oleh FMLLP atas kegagalan mereka menyerahkan surat selesai bayaran dan tunggakan gaji kepada FMLLP. Oleh itu, empat pasukan tersebut dipotong 6 mata dalam liga serta-merta. Kelantan dan T-Team begitupun terselamat dari penyingkiran ke Liga Premier pada hujung musim, namun berbeza buat Perlis dan ATM yang akhirnya disingkirkan ke Piala FAM musim depan.

9. Tan Cheng Hoe letak jawatan sebagai ketua jurulatih Kedah


Sumber gambar: FourFourTwo

Agak mengejutkan ramai apabila ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan beliau pada 1 April yang lalu, di kala Kedah mengecapi pelbagai kejayaan bersama jurulatih itu. Sebelum itu, beliau disebut-sebut akan mengisi jawatan penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia yang baharu. Akhirnya, beliau dipilih mengisi jawatan tersebut sehinggalah pada Disember, beliau dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih Malaysia yang baharu.

8.  Kebangkitan FELDA United

PAHANG, Jengka – Felda United FC’s team pose for a picture during the 2017 Malaysia Super League match between Felda United FC against Sarawak at Stadium Tun Abdul Razak Jengka on 4 March 2017. Photo by Zam Zainal / www.asiana.my

Meskipun mengakhiri saingan Liga Super 2016 di tempat kedua, mereka tidak beraksi dengan baik pada permulaan musim 2017. FELDA United melantik bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan bagi memulihkan imej mereka pada Februari. Selepas beberapa siri kekalahan malah turut tersingkir dari Piala AFC di peringkat kumpulan, FELDA United mula menampakkan hasil. Pasukan tersebut turut membawa semula penyerang, Thiago Augusto Fernandes bagi menajamkan serangan. Daripada sebuah pasukan yang pada awalnya tidak begitu mengancam, mereka menduduki tempat ketiga di penghujung musim 2017, namun disingkirkan ke Liga Premier kerana gagal mendapatkan lesen kelab dari FMLLP.

7. Kejutan PKNP, Shahrel Fikri


Sumber gambar: Semuanya bola

PKNP FC tidak begitu dipandang ramai pada awal musim. Namun, pasukan kendalian Abu Bakar Fadzim ini cukup mengujakan ramai apabila berjaya menewaskan kebanyakan pasukan di saingan Liga Premier. Mereka turut pencabar takhta Liga Premier 2017 di beberapa ketika. Tunjang utama pasukan ini, Shahrel Fikri ternyata memberi impak yang sangat besar dengan menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan, malah turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada Jun lalu. Mereka menduduki tangga ketiga liga dan dinaikkan divisyen ke Liga Super selepas FELDA United tidak berjaya memenuhi kriteria pelesenan kelab. Apa pun semoga kita dapat melihat lebih banyak aksi menarik dari PKNP FC, dan juga dari Shahrel Fikri…walaupun kita semua belum mengetahui ke manakah destinasi beliau pada 2018 nanti.

6. Perjalanan bola sepak Sukan SEA KL 2017


Sumber gambar: FAM
               
Skuad muda kebangsaan diletakkan harapan yang tinggi oleh semua rakyat Malaysia, dengan harapan berjaya merangkul emas di laman sendiri.
Bermula dengan garang, Malaysia berjaya menewaskan semua pasukan dalam Kumpulan A iaitu Brunei, Singapura, Myanmar dan Laos, lalu menduduki tempat teratas kumpulan dan ‘dijodohkan’ bertemu Indonesia di separuh akhir. Gol lewat dari N.Thanabalan mengesahkan kemenangan Malaysia ke atas musuh tradisi di separuh akhir.

Di final, mereka dijadualkan bertemu Thailand. Begitupun, sebelum perlawanan tersebut, pelbagai isu terpalit dengan yang terbesar adalah isu pengagihan tiket yang menggegarkan seluruh negara. Skuad negara tewas di final 0-1, selepas kesilapan dari penjaga gol Johor Darul Takzim, Haziq Nadzli yang tertampan bola ke gol sendiri.

5 lagi detik paling diingati dalam bola sepak Malaysia pada tahun 2017 akan diikuti dalam artikel seterusnya. Sekian.

Leave a Reply