Slogan InikanBola Slogan InikanBola
Sumber Gambar: Utusan
Sat, 30, Dec, 2017, 7:00 PM | Oleh

10 Detik Paling Diingati Dalam Bola Sepak Malaysia 2017 (Bahagian 2)

Sebelum ini penulis memuat naik 5 detik paling diingati dalam dunia bola sepak tanah air sepanjang tahun 2017 dari nombor 10 hingga nombor 6.

Berikut adalah 5 detik terbaik paling diingati dalam Liga Malaysia 2017:

  5. Kedah julang dua trofi


Kredit gambar: Utusan

Pasukan Hijau Kuning cukup menyerlah pada tahun ini, dengan Kedah berjaya merangkul dua piala iaitu Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada Januari, dan Piala FA pada Mei. Pada awalnya, skuad ini dilatih oleh Tan Cheng Hoe sebelum beliau berhijrah ke skuad kebangsaan dan seterusnya Kedah dilatih oleh Nidzam Adzha Yusoff. Skuad ini turut memperoleh tempat ke-4 dalam saingan Liga Super selain mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Musim hadapan, Kedah akan dilatih oleh bekas penolong ketua jurulatih mereka, Ramon Marcote. Amanah yang besar akan dipikul beliau untuk mengekalkan kecemerlangan Kedah pada 2018.

4. Skuad Bawah-16, Bawah-19 negara ke Piala Asia!


Sumber gambar: AFC

Skuad remaja negara melakar kecemerlangan pada tahun ini, dengan kedua-dua skuad Bawah-16 Tahun dan Bawah 19-Tahun Malaysia berjaya mara ke Piala Asia. Skuad Bawah-16 Tahun negara sudah pun layak secara automatik sebagai tuan rumah. Begitupun, AFC tetap mengarahkan tuan rumah beraksi di peringkat kelayakan. Malaysia yang diletakkan bersama Jepun, Singapura dan Guam berjaya memungut 6 mata dan menduduki tempat kedua kumpulan. Andai kita bukan tuan rumah sekalipun, kita tetap berjaya layak dengan prestasi yang meyakinkan ditunjukkan dari para pemain.

Skuad Bawah-19 Tahun yang dibarisi pemain seperti Hadi Fayyadh dan Akhyar Rashid, diletakkan bersama Korea Selatan, Indonesia, Timor Leste dan Brunei di peringkat kelayakan. Sama seperti skuad Bawah-16, mereka menduduki tempat kedua kumpulan di belakang Korea Selatan dan berjaya layak ke Piala Asia Bawah-19 Tahun yang akan diadakan di Indonesia.

Jangan lupa menyokong pasukan Bawah-16 Tahun di Piala Asia Bawah-16 tahun hadapan ya? Kejohanan tersebut dijadualkan pada September tahun hadapan.

3. Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2017 – kejutan terbesar bola sepak tahun ini?


Sumber gambar: TM

Kira-kira dua bulan sebelum acara ini berlangsung, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa pencalonan bagi semua kategori dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 tidak menyenaraikan pemain dari pasukan juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Takzim FC (JDT).

Hal ini menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan peminat sukan bola sepak Malaysia, malah ia berlarutan sehingga selepas tamatnya malam anugerah tersebut, dengan ramai berpendapat bahawa kebanyakan anugerah sepatutnya dimenangi pemain dari JDT memandangkan mereka mendominasi Liga Malaysia pada tahun ini.

Apapun, tahniah kepada semua pemenang pada malam itu dan kita berharap agar anugerah ini diadakan dengan lebih berintegriti pada masa akan datang.

2. Pelesenan kelab, penurunan dan kenaikan divisyen.

PETALING JAYA 17 APRIL 2015. Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP , Kevin Ramalingam pada sidang media memperkenalkan beliau di Wisma FAM. NSTP/Osman Adnan

Isu ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan pengelola liga, Football Malaysia Liability Limited Partnership (FMLLP) telah memberi taklimat dan menerangkan berkenaan pelesenan kelab sejak 2015 lagi.

FELDA United telah terkena kesan gagal memenuhi kriteria pelesenan kelab ini dan akibatnya, mereka diturunkan divisyen ke Liga Premier pada musim 2018 biarpun mengharungi musim yang gemilang pada tahun ini.

Satu lagi pasukan, T-Team FC berjaya mendapatkan lesen kelab, begitupun atas penjenamaan semula oleh kerajaan negeri Terengganu, mereka kini dikenali sebagai Terengganu FC II yang berfungsi sebagai ‘feeder club’ kepada Terengganu FA yang dinaikkan divisyen selepas menduduki tempat kedua Liga Premier dan turut dijenamakan sebagai Terengganu FC I.

Untuk tahun 2018, pelesenan akan diwajibkan kepada semua pasukan di Liga Premier pula. Harapnya tak berlaku kes begini lagi lah ya untuk 2018.

1.JDT juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut!

Foto: Johor Southern Tigers

Sumber gambar: Johor Southern Tigers

Nombor satu untuk juara, begitu juga dengan artikel ini.

Sekali lagi, Johor Darul Takzim FC (JDT) menepati ramalan ramai pihak dengan berjaya menjuarai Liga Super Malaysia pada musim 2017. Seawal Ogos, mereka berjaya mengesahkan bahawa kejohanan yang mereka menangi sejak 2014 itu masih lagi menjadi milik mereka. JDT memungut 49 mata dengan 15 kemenangan dicapai dari 22 perlawanan, meninggalkan pesaing terdekat iaitu Pahang (40) dan FELDA United (39).

Dengan trofi yang baharu dilancarkan oleh FMLLP, pada September, Harimau Selatan menjulang trofi tersebut di ‘rumah’ mereka iaitu Stadium Larkin.

Ternyata skuad yang dibarisi pemain seperti Safiq Rahim, Natxo Insa, Nazmi Faiz dan lain-lain ini sangat sukar digugat pasukan lain. Empat tahun mereka menakluk Malaysia. Adakah 2018 akan menjadi milik mereka sekali lagi? Sama-sama kita nantikan.

Terima kasih di atas segala kenangan, 2017. Jumpa anda di Liga Malaysia musim 2018 nanti!

(Visited 220 times, 2 visits today)



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll Up