Pasukan Kelantan akan memasuki musim 2018 dengan wajah baharu. Wajah baru yang kami maksudkan ialah mereka mempunyai presiden baharu, barisan pemain import baru dan juga satu hal baru yang menggembirakan semua penyokong Kelantan, bebas daripada hutang. Dengan tiga perkara di atas, adakah musim 2018 merupakan musim dimana kita akan melihat kebangkitan semula bola sepak Kelantan ?

Bagi persediaan musim hadapan, Kelantan setakat ini telah menandatangani tiga pemain import iaitu Do Dong-hyun, Cassio de Jesus dan Misagh Bahadoran. Ketiga-tiga pemain ini boleh dikatakan sudah masak dengan persekitaran bola sepak Asia Tenggara. Cassio pernah bermain untuk Semen Padang di Liga Indonesia. Bahadoran merupakan penyerang pasukan kebangsaan Filipina manakala Dong-hyun pula pernah mewakili pasukan UiTM FC musim lalu. Kami berpendapat Kelantan melakukan langkah yang bijak dengan menandatangani tiga pemain ini.

Selain pemain import, Kelantan juga akan diperkuatkan Nik Akif Syahiran, pemain yang menyerlah ketika membantu Malaysia layak ke temasya Piala Asia bawah 19 tahun di Indonesia tahun hadapan. Nik Akif menjadi rebutan beberapa pasukan besar dalam Liga Malaysia. Namun Nik Akif memilih untuk mewakili negeri kelahiran beliau.

Salah satu faktor yang boleh menyumbang kepada kebangkitan bola sepak Kelantan musim hadapan ialah kewangan pasukan yang kukuh. Para pemain tidak perlu memikirkan soal gaji yang tertunggak seperti musim lalu, dan pemain juga akan bersemangat untuk bermain kerana kebajikan mereka terjaga oleh pengurusan yang baru. Kami juga yakin bahawa Bibi Ramjani mampu untuk mengotakan segala janji yang dibuat.

Mampukah Kelantan mengembalikan semula era kegemilangan mereka seperti mana ketika memenangi Treble pada musim 2012 ? Atau mereka bakal sekali lagi tersungkur dan kembali ke Liga Perdana ? Apa pula pandangan anda mengenai pasukan Kelantan musim ini? Kongsikan bersama kami di ruangan komen di bawah. Jika anda mempunyai idea atau ingin menulis artikel mengenai pasukan kegemaran anda, anda boleh juga hantarkan artikel anda menerusi laman sosial media kami, Inikan Bola. Sekian.

Baca juga: Mampukah Sang Doktor Gigi Menjulang Kelantan ?

Leave a Reply