Hari ini pasukan negara bawah 22 tahun akan menghadapi pasukan Jordan bagi perlawanan kedua kumpulan C kejohanan Piala Asia Bawah 22 tahun di Stadium Changshu. Sepak mula akan bermula pukul 4 petang waktu Malaysia. Perlawanan ini boleh diibaratkan sebagai perlawanan hidup dan mati pasukan negara dalam temasya kali ini. Jika menang, maka peluang kita untuk mara ke peringkat seterusnya akan terbuka. Jika kalah, maka ucapkanlah selamat tinggal kepada Piala Asia Bawah 22 tahun edisi 2018.

Bagi perlawanan hari ini, barisan pertahanan harus mengawasi gerak-geri penyerang Jordan, Baha Faisal yang menjaringkan dua gol ketika Jordan seri dengan Arab Saudi. Selain itu, barisan serangan Malaysia yang akan diturunkan nanti diharap dapat mengulangi prestasi ketika separuh masa kedua pada perlawanan pertama. Selain barisan serangan, barisan pertahanan dan tengah diharapkan lebih fokus kali ini. Kita tidak mahu melihat kesilapan yang sama berulang kembali hari ini.

Kami yakin anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee akan memberikan segala-galanya pada perlawanan hari ini. Mereka sudah pasti telah belajar daripada kesilapan ketika perlawanan pertama menentang Iraq pada rabu lalu.

Pada pendapat anda, mampukah anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee bangkit dan seterusnya menewaskan Jordan ?

Leave a Reply