Kami berpeluang mengikuti perlawanan pasukan Kedah FA di Piala Suramadu yang telah berlangsung di Surabaya. Pasukan Kedah seri kedua-dua perlawanan awal bertemu Persela Lamongan 2-2 hasil jaringan pemain muda Zafuan Azeman dan Hidhir Idris serta seri dengan Persija Jakarta 1-1 sekali lagi hasil jaringan ubi baru Hidhir Idris. Dalam perlawanan terakhir bertemu Madura United, Kedah bermula perlahan apabila ketinggalan 2-0 di separuh masa pertama namun berjaya bangkit untuk sekali lagi mencatat keputusan seri 2-2.

 

Sepanjang pemerhatian kami, ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote menggunakan Piala Suramadu sebagai medan untuk penyesuaian dan ujian buat pemain-pemain beliau. Dalam perlawanan pertama bertemu Persela Lamongan, Marco menurunkan ramai pemain muda dan mempamerkan permainan hantaran pendek bertempo tinggi. Keputusan seri bukan gambaran sebenar perlawanan kerana Kedah sebenarnya menguasai keseluruhan permainan. Yang menjadi halangan untuk mereka mencetak keputusan lebih baik ialah permainan yang masih kurang kemas dan tajam. Mungkin pasukan masih dalam mood pre-season.

 

Dalam perlawanan kedua bertemu Persija Jakarta juga Marco menggunakan pendekatan sama di separuh masa pertama. Tetapi beliau membuat sedikit perubahan dari segi pendekatan di separuh masa kedua dengan lebih banyak melebarkan permainan ke bahagian sisi. Mungkin untuk menguji reaksi pemain-pemain beliau dalam situasi berbeza sewaktu permainan. 2 pemain import baru Kedah, Alvaro Silva dan Pablo Pallares nampak masih dalam mood menyesuaikan diri. Sekali lagi keputusan berakhir dengan seri.

 

Bertemu pasukan tuan rumah, Madura United di perlawanan terakhir, juga perlawanan yang bakal menentukan juara Piala Suramadu, Marco sekali lagi Nampak mahu menguji skuad beliau. Kali ini, pasukan Kedah bermain dalam tempo yang sedikit perlahan dan tidak menganjak garisan pertahanan mereka terlalu tinggi. Madura United berjaya menjaringkan gol awal dan mendahului dengan 2 gol di separuh masa pertama. Sekali lagi Kedah bangkit di separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan dengan penyerang import baru Pablo Pallares berjaya menjaringkan gol pertama beliau untuk Kedah.

 

Secara kesuluruhan, Piala Suramadu nampak seperti hanya medan untuk Marco menguji keserasian pasukan beliau. Prestasi pemain import baru Kedah khususnya Pablo tampak agak berkarat, namun, kami berpendapat bahawa pasukan Kedah masih berada di dalam gear 1 dalam persediaan pasukan untuk musim hadapan. Ujian sebenar pasukan Kedah ialah apabila mereka mula bermain dalam perlawanan-perlawanan persahabatan seterusnya, khususnya apabila menentang Suphanburi FC dari Thailand. Penyokong Kedah juga harus memberi masa untuk pasukan dan pemain import baharu menyesuaikan diri dengan pasukan. Buat orang Kedah, hangpa boleh pekena rokok daun sebalut dulu. Awai tak kalut.

(Visited 61 times, 1 visits today)

Leave a Reply