Muhammad Akhyar Abdul Rashid. Siapa yang tidak kenal dengan “wonder kid” Kedah ini. Persembahan cemerlang beliau dalam temasya Piala Asia Bawah 22 Tahun yang ketika ini sedang berlangsung telah melonjakkan lagi saham beliau. Anda boleh lihat bagaimana penyerang lincah ini mengkicar-kacirkan pertahanan Jordan ketika kita seri 1-1 menentang mereka semalam. Pada pandangan kami, pemain ini sangalah istimewa. Pemain berusia 19 tahun ini akan menjadi salah satu pemain yang akan menerajui barisan serangan negara pada masa akan datang.

Prestasi cemerlang skuad negara ketika menentang Jordan semalam sedikit-sebanyak disumbangkan oleh barisan serangan negara yang diketuai Akhyar dan Safawi. Gandingan Akhyar bersama Safawi boleh dikatakan “gandingan emas” yang kedua selepas Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali pada tahun 2010 hingga 2012 lalu. Akhyar dan Safawi dilihat saling melengkapi antara satu sama lain. Pada perlawanan seterusnya, kami berharap Datuk Ong Kim Swee akan mengekalkan gandingan dua anak muda ini.

Jika Akhyar berjaya mengekalkan momentum cemerlang beliau, tidak mustahil akan ada kelab daripada luar negara akan datang dan memberi tawaran kepada Akhyar. Harus diingat, temasya Piala Asia Bawah 22 Tahun kali ini adalah medan terbaik bagi kelab-kelab di serata Asia mencari pemain muda yang berpotensi. Dan jika Akhyar mendapat tawaran untuk bermain di luar negara, harap beliau akan menerima tawaran tersebut. Jangan jadi macam beberapa pemain senior yang menolak tawaran untuk bermain di luar hanya kerana gaji sedikit.

Bagaimana dengan pandangan anda ? Adakah Akhyar Rashid mampu untuk mengekalkan momentum sekaligus berpeluang untuk bermain di luar negara ?

Leave a Reply