Sumber Gambar: Semuanya Bola

Teka-teki mengenai penjaring terbanyak Liga Super musim 2017, Mohammed Ghaddar akhirnya terjawab apabila beliau menyertai semula pasukan Kelantan bagi menggantikan penyerang import yang terdahulu, Bruno Lopes. Setelah meninggalkan pasukan Kelantan pada pertengahan musim lalu bagi menyertai Johor Darul Ta’zim, Ghaddar akhirnya pulang ke pasukan yang telah menaikkan nama beliau dalam kancah Liga Malaysia. Kalau dah jodoh, memang takkan kemana!

Kepulangan Mohammed Ghaddar kali ini disambut baik oleh peminat pasukan Kelantan. Dalam saingan Liga Super setakat ini, Kelantan hanya menjaringkan dua gol saja. Sudah tentu ini satu petanda yang merisaukan peminat pasukan. Kita juga melihat Bruno Lopes lambat untuk menyesuaikan diri dengan taktikal ketua jurulatih, Shatit Bensoh. Dengan adanya Ghaddar, yang kita tahu reputasi beliau sebagai mesin gol untuk pasukan Kelantan sebelum ini, mungkin akan menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan Kelantan.

Prestasi Mohammed Ghaddar musim lalu ketika bersama Kelantan memang amat luar biasa. Pada separuh masa pertama musim 2017 saja, Ghaddar berjaya menjaringkan 18 gol dalam saingan Liga Super. Kalau penyerang anda menunjukkan prestasi cemerlang, memang pada pertengahan musim akan ada pasukan yang masuk meminang. Dalam kes Ghaddar ni juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim menunjukkan minat terhadap khidmat Ghaddar. Krisis kewangan yang sedang dihadapi pasukan Kelantan ketika itu memaksa mereka untuk menjual mesin gol mereka ke JDT. Namun, prestasi Ghaddar bersama JDT bukanlah seperti yang diharapkan. Beliau hanya menjaringkan 5 gol saja dalam saingan Liga. Jauh berbeza dengan 18 gol ketika bersama Kelantan!

Mampukah Mohammed Ghaddar untuk menyinar dalam tempoh keempat beliau bersama pasukan Kelantan ? Jawapan untuk persoalan itu kami tinggalkan untuk anda. Tetapi, jika kita menilai dari sudut jumlah gol yang dihasilkan oleh Ghaddar sebelum ini, beliau mampu untuk menyinar bersama pasukan Kelantan sekali lagi. Tak kira lah jauh mana Ghaddar ni pergi, akhirnya pulang semula ke Kelantan. Memang kuat betul jodoh mereka ni. Bak kata pepatah, “bagai sirih pulang ke ganggang”.

Apa pendapat anda mengenai kepulangan semula Mohammed Ghaddar ke pasukan Kelantan ? Mampukah beliau menyinar ?

Baca Juga: Musim 2018: Musim Kebangkitan Bola Sepak Kelantan ?

Leave a Reply