Sumber Gambar: Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim berjaya memulakan kempen Piala AFC edisi 2018 dengan langkah kanan apabila menewaskan kelab Indonesia, Persija Jakarta dengan keputusan 3-0 semalam. Gol daripada Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz dan Safawi Rasid memastikan JDT mengutip 3 mata pertama dalam kempen kali ini. Pada perlawanan yang dimenangi JDT semalam, kami tertarik dengan adanya Hazwan Bakri yang diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan. Kami berpendapat ini adalah satu perkara yang baik untuk Hazwan bagi memastikan beliau mendapat minit bermain yang cukup.

Hazwan Bakri diletakkan di posisi sayap kanan dalam trio serangan pasukan Johor Darul Ta’zim semalam. Beliau berjaya membuka tirai jaringan menerusi satu gerakan menarik yang dimulakan oleh Jorge Pereyra Diaz. Larian pantas serta ketajaman beliau di hadapan gol nyata memainkan peranan besar dalam perlawanan semalam. Ini yang kita mahu saksikan daripada seorang penyerang seperti Hazwan. Harus diingat, Hazwan ialah harapan utama kita dalam barisan serangan skuad kebangsaan. Jadi minit bermain yang secukupnya serta pendedahan di peringkat tinggi adalah penting untuk beliau.

Selain Hazwan yang berjaya menjaringkan gol, Safawi Rasid juga berjaya menjadi penjaring gol ketiga untuk JDT. Kami berpendapat bahawa Safawi Rasid juga harus diberi lebih lagi peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama. Safawi beraksi cemerlang ketika membantu pasukan bawah 22 tahun negara mara ke peringkat suku akhir temasya Piala Asia Bawah 23 Tahun di China bulan lalu. Sudah pasti sebagai peminat bola sepak Malaysia, kita mahu melihat kelibat Safawi dengan lebih kerap bersama pasukan Johor Darul Ta’zim.

Tahniah kami ucapkan kepada pasukan Johor Darul Ta’zim. Bagi Hazwan Bakri dan Safawi Rasid, kami berharap Ulisses Morais akan memberikan lebih banyak peluang kepada kedua-dua penyerang ini untuk tampil dalam kesebelasan utama. Hal ini penting untuk skuad kebangsaan yang nantinya akan mengharapkan mereka untuk merobek gawang lawan.

Baca Juga: Piala AFC Terakhir Buat JDT ?

Leave a Reply