Sumber Gambar: Zimbio.com

Pemain ini menjadi sebahagian daripada pasukan Malaysia yang muncul juara Piala AFF Suzuki edisi 2010 lalu. Tidak cukup dengan itu, pemain ini juga menjadi sebahagian ketika Harimau Muda memenangi pingat emas Sukan SEA pada tahun berikutnya. Setelah persembahan cemerlang beliau dalam dua temasya tersebut, pemain ini berpeluang untuk bermain di luar negara. Tetapi, seperti biasa, hal itu tidak menjadi kenyataan. Beliau lebih memilih untuk bermain di Malaysia. Siapakah pemain ini ? Beliau adalah bekas ketua pasukan Selangor, Asraruddin Putra Omar. Di sini kami nak membahas tentang apa sudah jadi kepada karier beliau.

Asraruddin Putra Omar adalah produk daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil. Beliau kemudiannya menyertai pasukan Selangor pada 2006. Ketika bersama Selangor, nama beliau mula menjadi perhatian peminat bola sepak Malaysia. Semasa mewakili Malaysia dalam temasya Piala Juara Belia pada 2007, Asra diberikan mandat sebagai ketua pasukan selepas Bunyamin Umar mengalam kecederaan. Persembahan beliau ketika itu menarik minat kelab Belanda, PSV Eindhoven dan mereka menjemput Asra untuk berlatih bersama selama seminggu. Setelah tamat latihan bersama PSV, Asra kembali ke pangkuan Selangor.

Karier Asra bersama Selangor boleh dikatakan cukup gemilang. Dua kejuaraan Liga Super pada musim 2009 dan 2010 dan satu Piala FA mewarnai perjalanan Asra bersama Selangor. Sebagai kemuncak, pada musim 2012 Asra dilantik sebagai ketua pasukan, mengetepikan nama besar seperti Amri Yahyah dan Safiq Rahim ketika itu. Tidak cukup dengan itu, prestasi cemerlang Asra juga berjaya menarik minat kelab Divisyen Lima Sepanyol, International FC. Tetapi, Asra gagal untuk menyertai kelab Sepanyol tersebut. Terdapat ura-ura mengatakan bahawa ada beberapa pihak yang menasihati Asra agar tidak bermain di luar negara dan memberikan fokus sepenuhnya untuk bermain di Liga Malaysia. Sebab itulah beliau kekal bersama pasukan Selangor.

Setelah bersama Selangor selama lapan musim, Asraruddin menyertai Johor Darul Ta’zim pada 2014. Di sinilah titik dimana karier Asra mula merudum. Asra dilanda kecederaan panjang pada 2015 dan Fazly Mazlan menggantikan beliau di posisi pertahanan kiri. Pada 2017, Asra dilepaskan oleh pihak JDT. Beliau djangka akan menyertai Pulau Pinang namun tidak kesampaian. Pada awal musim ini, pasukan Selangor dikhabarkan mahu membawa masuk bekas ketua pasukan mereka. Namun, P.Maniam menafikan perkara tersebut.

Kini, Asra menjadi ejen bebas tanpa sebarang kelab. Beliau mengusahakan kedai gunting rambut yang diberi nama Piratas Barber Shop di Puncak Alam. Hal ini amat disayangkan kerana pemain yang dulu mendapat peluang untuk bermain di Eropah, namun kini menjadi ejen bebas. Semoga Asra akan menemui pasukan yang mahu mengambil khidmat beliau dalam masa terdekat.

Baca Juga: Shakir Shaari: Dimana Silapnya ?

Leave a Reply