Sumber Gambar: The Star

Penjaga gol PKNP FC, See Tian Keat menjadi sorotan peminat bola sepak Malaysia apabila beliau beraksi cemerlang ketika pasukan PKNP FC menewaskan Kuala Lumpur 2-1 pada perlawanan Unifi Liga Super 2018 semalam. Beliau juga menjadi antara penjaga gol berbangsa Cina dalam saingan Liga Malaysia musim ini. Namun, bukan persembahan cemerlang beliau saja yang menjadi perhatian. Ada juga kisah yang boleh dijadikan inspirasi kepada semua pemain dalam kancah Liga Malaysia.

Penjaga gol berusia 24 tahun ini memulakan karier profesional beliau bersama pasukan PKNS FC ketika beliau masih lagi di bangku sekolah. Setelah beraksi bersama skuad Piala Presiden PKNS, Tian Kiat kemudiannya menyertai pasukan Perak pada 2013. Tian Kiat kemudiannya mendapat peluang untuk bermain di Amerika Syarikat. Tempoh Tian Kiat di Amerika tidak hanya dihabiskan dengan bermain bola sepak saja. Beliau meneruskan pelajaran beliau dengan menuntut di salah sebuah universiti di Washington D.C dengan mengambil Ijazah dalam jurusan Kejuruteraan Awam. Kini, Tian Kiat baru saja menamatkan pengajian beliau dan kembali ke Malaysia dengan menyertai pasukan PKNP FC. Bersama PKNP FC, beliau dilihat berpeluang cerah untuk terus menjadi penjaga gol utama pasukan pada perlawanan akan datang.

Apa yang mahu kami tekankan disini adalah bidang akademik juga perlu kita beri perhatian sepenuhnya walaupun kita adalah seorang pemain bola sepak profesional. Karier bola sepak ini tidak panjang. Mungkin anda memulakan karier bola sepak profesional pada usia 18 tahun dan kemudiannya anda memutuskan untuk bersara ada usia 37 tahun. Jika kita mempunyai akademik yang cemerlang, ia sedikit-sebanyak boleh membantu kita untuk mencari kerjaya selepas karier bola sepak profesional kita telah sampai ke penghujungnya. Mungkin ada yang masih berkecimpung dalam bidang bola sepak. Ada juga yang memilih haluan lain. Kedua-duanya perlukan ilmu akademik yang baik.

Semoga pencapaian See Tian Keat boleh menjadi inspirasi kepada semua pemain terutamanya pemain muda negara. Jika kita boleh mengimbangi antara kerjaya bola sepak dan juga bidang akademik, perkara ini mampu untuk memudahkan urusan kita di masa hadapan.

Baca Juga: PKNP Berdepan Ujian Sebenar!

Leave a Reply