Sumber Gambar: Pahang FA

Permainan bola sepak semakin maju seiring dengan teknologi moden masa kini. Di negara yang mempunyai sistem bola sepak yang maju, pelbagai peralatan dan juga kaedah diguna-pakai bagi memantapkan lagi sukan bola sepak itu sendiri. Dalam saingan Liga Malaysia pula, kita jarang melihat teknologi moden diterapkan oleh pasukan -pasukan Liga Malaysia. Namun, memasuki musim 2018 ini, ada satu pasukan yang mula menggunakan teknologi moden dalam permainan mereka. Pasukan Pahang mula menggunakan satu alat pengesan prestasi yang dikeluarkan oleh syarikat bernama “GP Sports”. Mari kita kupas sedikit mengenai teknologi yang dikeluarkan oleh “GP Sports” ini.

Alat ini menggunakan sistem penjejakan GPS berteknologi tinggi bagi mengkaji tentang keadaan semasa seseorang pemain tersebut. Dengan penggunaan alat pengesan ini, kita boleh mengetahui tahap kecergasan yang dimiliki oleh seorang pemain tersebut. Selain tahap kecergasan, kita juga boleh melihat jarak yang boleh dicapai oleh seseorang pemain dalam satu perlawanan. Selain itu, kita juga boleh mengurangkan risiko kecederaan daripada menimpa pemain. Ini kerana alat ini akan memberi petunjuk jika seseorang pemain ini mempunyai masalah kecederaan dan tidak mampu untuk bermain selama 90 minit. Jurulatih juga boleh mengenal pasti pemain mana yang akan diturunkan dalam kesebelasan utama. Selain mengenal pasti pemain yang akan diturunkan, jurulatih juga boleh menyesuaikan taktikal yang bakal digunakan dengan barisan pemain yang sedia ada.

Sumber Gambar: Pahang FA

Penggunaan teknologi seperti alat pengesan di atas nyata membantu pasukan untuk mempertingkatkan lagi tahap permainan mereka. Kami menyokong sepenuhnya untuk teknologi seperti ini digunakan dalam saingan Liga Malaysia. Kami berpendapat walaupun harga yang harus dibayar oleh pasukan bagi mendapatkan teknologi tersebut adalah tinggi, namun ia berbaloi untuk pelaburan jangka masa panjang dan juga kemajuan pasukan pada masa akan datang. Jadi tidak rugi pun jika ada pasukan yang menggunakan teknologi ini.

Kami berharap akan ada pasukan lain dalam Liga Malaysia yang akan menggunakan teknologi moden bagi mempertingkatkan prestasi pasukan pada masa akan datang. Sudah tiba masanya kita menuju ke arah bola sepak yang lebih maju.

Baca Juga: 3 Teknologi Yang Digunakan Dalam Bola Sepak Moden

Leave a Reply