Sumber Gambar: FMLLP

Tindakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengenakan denda sebanyak RM9 Juta kepada 10 pasukan yang gagal untuk melengkapkan dokumen perpindahan nyata menimbulkan seribu pertanyaan dan juga kritikan daripada pengurusan pasukan dan juga peminat bola sepak Malaysia. Mereka mempersoalkan adakah jumlah denda yang akan dikenakan itu sudah termaktub dalam peraturan dan undang-undang yang sudah ditetapkan ataupun mereka membuatkeputusan melulu dengan sesuka hati memetik angka sebesar itu.

Salah satu pasukan yang dikenakan hukuman tersebut, MISC-Mifa menyatakan mereka lebih baik menarik diri daripada saingan Liga Malaysia daripada harus membayar jumlah dengan RM500,000 kepada FMLLP. Mereka juga mengkritik tindakan FMLLP sebagai tidak munasabah serta tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh pasukan. Pasukan Liga Super, Kelantan pula menunjukkan reaksi yang berbeza mengenai hukuman ini. Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan akan mengemukakan rayuan bagi mengurangkan sedikit jumlah asal iaitu RM1.5 Juta yang harus dibayar pasukan.

Pengelola Liga, FMLLP memberi reaksi mengenai kritikan beberapa pihak pengurusan pasukan yang dikenakan hukuman. Mereka menyatakan bahawa hukuman yang dikenakan kepada 10 pasukan adalah wajar dan setimpal dengan imbuhan yang bakal diterima. Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalinggam juga menjawab tentang jumlah denda yang harus dibayar. Beliau berkata memang jumlah tersebut tiada dalam peraturan tetapi Lembaga Pengarah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan juga mengambil tindakan.

Kami berpendapat walaupun Lembaga Pengarah FMLLP mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan dan juga menetapkan undang-undang, jumlah RM1.5 Juta bagi pasukan Liga Super dan RM500,000 bagi pasukan Liga Perdana yang harus dibayar adalah terlalu tinggi. Memang tidak dinafikan imbuhan yang bakal diterima pada akhir musim ini lebih tinggi berbanding musim sebelumnya. Pada akhir musim 2018, pasukan Liga Super akan menerima RM3 Juta manakala pasukan Liga Perdana akan menerima RM1 Juta. Tetapi, ianya tetap akan menjejaskan perancangan dan juga kantung kewangan pasukan. Jika hukuman yang dikenakan berupa pemotongan mata dan sekatan perpindahan saja, mungkin pasukan boleh lagi menerima dengan hati yang terbuka. Tetapi, jika melibatkan kewangan, sudah pasti ia akan menjejaskan pasukan.

Leave a Reply