Sumber Gambar: Felda United

Memang sudah dijangka oleh peminat bola sepak Malaysia apabila Felda United berjaya menguasai saingan Liga Perdana musim 2018. Lihat saja barisan pemain yang dimiliki oleh Felda musim ini. Baik pemain tempatan mahupun pemain import, mereka berada di tahap yang berbeza berbanding pemain pasukan lain. Tahap yang menurut kami adalah lebih sesuai untuk beraksi dalam saingan Liga Super, bukanlah Liga Perdana. Dah alang-alang kami menyebut pasla pemain Felda United ni, di sini kami tertarik dengan penyerang import mereka iaitu Gilberto Fortunato. Mari kita bahas tentang pemain ini.

Gilberto Fortunato nyata tajam di hadapan gol apabila beliau berjaya menjaringkan 6 gol dalam saingan Liga Perdana setakat ini. Ketajaman beliau di hadapan gol turut memastikan Felda United masih lagi mengekalkan rekod 100% dalam saingan Liga. Sewaktu ketiadaan Thiago Augusto Fernandez pada permulaan musim ini akibat kecederaan, Gilberto nyata tidak berdepan masalah untuk mengemudi jentera serangan Felda. Sekarang, Thiago Augusto sudah pulih daripada kecederaan. Anda boleh bayangkanlah apabila kedua-dua penyerang ini bergabung. Memang sukar untuk disekat. Gandingan kedua-dua pemain ini membuatkan barisan serangan Felda tampak lebih berbahaya.

Kecemerlangan Gilberto tidak tertumpu dalam saingan Liga Perdana saja. Bekas pemain PKNP FC ini turut menyinar dalam saingan Piala FA dengan menjaringkan dua gol setakat ini. Walaupun baru dua musim bermain di Liga Malaysia, tetapi Gilberto tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran Liga. Keputusan ketua jurulatih, B.Sathianathan untuk membawa masuk Gilberto bagi menggantikan Ifedayo Olusegun dilihat satu keputusan yang tepat.

Hari ini, Felda United akan menghadapi pasukan Kuantan FA di Stadium Tun Abdul Razak. Mereka berpeluang untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga sekaligus menjarakkan keduduka dengan pasukan di tangga kedua. Dalam perlawanan ini, Gilberto juga berpeluang untuk meneruskan rekod jaringan beliau. Menarik juga untuk kita saksikan bagaimana gandingan Gilberto dan Thiago di barisan serangan Felda.

Apa pendapat anda mengenai prestasi yang ditunjukkan oleh Gilberto Fortunato setakat ini ? Adakah saingan Liga Perdan terlalu senang buat beliau dan juga Felda United ?

Leave a Reply