Sumber Gambar: FMLLP

Sumber Gambar: FAMLLP

Wisel penamat perlawanan El Clasico Malaysia, Perak vs Selangor dan Melaka vs PKNP menandakan berlabuhnya tirai matchday ke-5 unifi Liga Super Malaysia 2018. Wajah Liga Super sedikit sebanyak sudah tergambar dalam benak peminat bola sepak tempatan, sekaligus mencetus buah mulut dan pandangan terhadap pasukan masing-masing.

Selepas 5 minggu liga berlangsung, berikut merupakan beberapa perkara yang dapat dilihat pada matchday ke-5:

3 BENDA YANG PASTI DALAM HIDUP: CUKAI, AJAL DAN JDT DI PUNCAK LIGA

Sumber: FAMLLP, Twitter

Walau diuji dengan beberapa isu luar padang, JDT terus kekal fokus dalam memastikan kejuaraan akan dapat diperoleh pada hujung musim. 12 mata dari 5 perlawanan meletakkan Harimau Selatan di puncak liga selepas memperoleh 3 mata penting dalam pertemuan Puncak Liga menentang Terengganu. Persembahan konsisten yang ditunjukkan anak buah Raul Longhi sekali lagi memberi indikasi apa yang diperlukan untuk bergelar juara.

PKNS & KELANTAN; DUA CERITA BERBEZA

Sumber Gambar: FAMLLP

Keputusan perlawanan PKNS dan Kelantan minggu lalu hanyalah fragmen kecil jika dibandingkan dengan apa yang diperoleh mereka penghujung minggu ke-5 liga. Kedua-dua pasukan memulakan saingan liga dengan nafas baru, namun jelas kelihatan jurang antara mereka. Anak buah K. Rajagopal selesa di tempat 4 teratas manakala The Red Warriors terjerumus di dasar liga.

Percaturan K. Rajagopal membuahkan hasil apabila berjaya mencatatkan 3 kemenangan dari 5 perlawanan, biarpun dibarisi pemain baru hasil rombakan besar-besaran. Aksi cemerlang barisan pertahanan PKNS dan jaringan klinikal Rafael Ramazotti membuahkan hasil yang diinginkan seakan memberi isyarat, “Kami Bukan Pasukan Belasahan!”

Cerita berbeza ditunjukkan oleh skuad Kelantan; 3 kekalahan selepas 5 perlawanan merupakan tragedi yang sepatutnya dielakkan. 2 kekalahan dan 1 seri memaksa Kelantan menekan butang panik dan melepaskan Sathit Bensoh dan digantikan dengan pemain legenda Perlis, Yusri Che Lah. Dengan kembalinya Ghaddar dan sentuhan Yusri Che Lah, mampukah Kelantan bangkit sebelum separuh masa pertama liga melabuhkan tirai.

DUO PANTAI TIMUR PENCABAR LIGA

Seterusnya

Sumber Gambar: FMLLP

Kemenangan 4-0 ke atas pencabar baru liga, Negeri Sembilan menjadikan Pahang pasukan pertama yang mencatatkan kemenangan 3 kali berturut-turut dalam liga musim ini. Biarpun bermula dengan perlahan dengan 1 seri dan 1 kekalahan, skuad Tok Gajah segera maju dengan kemasukan Francis Forkey Doe yang mengungguli carta penjaring terbanyak dengan 5 gol selepas 3 perlawanan.

Semusim di Liga Perdana memberi nafas baru buat Terengganu selepas berjaya memulakan liga dengan cemerlang. Biarpun tewas ke atas juara liga, JDT, namun aksi positif yang ditunjukkan kendalian Irfan Bakti dalam 4 aksi sebelum itu sudah cukup untuk menyuntik rasa yakin dalam hati peminat bahawa mereka juga pasukan yang harus digeruni untuk musim 2018.

LANG DAN GERGASI MERAH BERSAUDARA?

Cheras

Sumber Gambar: FMLLP

Selepas 2 musim menyandang gelaran pencabar liga, skuad Lang Merah kini berada dalam situasi yang asing untuk mereka apabila hanya berjaya mencatatkan 2 kemenangan di bawah kendalian Ramon Marcote. Kerapuhan barisan pertahanan dilihat sebagai isu utama yang harus diatasi selain daripada isu penyerang tumpul yang dialami mereka. Hal ini dibuktikan dengan rekod bolos mereka yang tertinggi setakat ini dengan 12 gol. Desakan peminat yang menagih aksi lampau berbanding kesabaran terhadap acuan baru menambah tekanan yang menggunung. Apakah ada masa untuk Ramon kembali mengatur pasukan ke jalan yang benar atau wisel penamat hanya menunggu isyarat untuk ditiup pihak pengurusan?

Kekalahan dalam aksi El Clasico menandakan Selangor telah tumpas 3 kali berturut-turut musim ini dalam liga, seiring dengan Negeri Sembilan. Berbeza dengan musim lalu, pelan 3-4-3 P. Maniam seperti sudah dapat diduga lawan walaupun barisan pemain tidak banyak berubah, malah dilihat seperti suatu penambahbaikan jika dilihat dari kualiti pemain yang dibawa masuk untuk musim 2018. Meskipun bermula garang dengan kemenangan dalam Klang Valley Derby dan 4-1 ke atas Melaka, momentum dilihat semakin pudar sekaligus mencetuskan rasa risau peminat Gergasi Merah untuk baki musim 2018. Kekal atau singkir?

Baca Juga: Kredibiliti Pengadil Dipersoal Sekali Lagi

Leave a Reply