Sumber Gambar: PKNS FC

Sudah menjadi impian setiap pemain muda untuk dikenali oleh jurulatih dan juga peminat secepat yang mungkin. Untuk membarisi kesebelasan utama dan menjadi antara pilihan utama dalam pasukan. Dan itulah yang berlaku dalam karier pemain pertahanan negara, Mahali Jasuli. Beliau berjaya mewakili skuad kebangsaan pada usia muda iaitu 21 tahun. Sejak dari itu, beliau selalu menjadi pilihan utama untuk mengisi posisi pertahanan kanan pasukan negara. Perkara ini juga berlaku di peringkat kelab bersama Selangor dan juga JDT. Namun, sudah dua musim kebelakangan ini kita dapat melihat Mahali banyak memanaskan bangku simpanan pasukan Johor Darul Ta’zim. Jurulatih ketika itu lebih gemar menggunakan S.Kunanlan dan Azrif Nasrulhaq bagi mengisi posisi pertahanan kanan berbanding Mahali.

Bagi saingan musim 2018, Mahali menyertai pasukan PKNS FC secara pinjaman selama satu musim daripada pasukan JDT. Beliau bermain di bawah bimbingan jurulatih yang memberikan beliau debut bersama pasukan kebangsaan pada 2010, Datuk K.Rajagopal. Dan boleh dikatakan beliau bagaikan dilahirkan semula. Persembahan Mahali setakat ini cemerlang dengan menjaringkan dua gol dalam saingan Liga. Gaya permainan Mahali juga semakin meningkat berbanding sebelum ini apabila beliau tampil dalam kesebelasan utama dalam kesemua perlawanan Liga buat PKNS. Mahali juga menjadi antara pemain sayap terbaik dalam Liga Malaysia setakat ini.

Kami berpendapat keputusan Mahali Jasuli untuk menyertai PKNS FC adalah satu keputusan yang tepat. Ini kerana beliau mendapat lebih banyak minit bermain bersama PKNS setakat ini berbanding bersama Johor Darul Ta’zim musim lalu. Jika pemain itu mempunyai minit bermain yang banyak maka pemain tersebut mampu untuk mengekalkan rentak permainan cemerlang. Jika Mahali berjaya mengekalkan prestasi semasa, tidak mustahil beliau akan dipanggil semula oleh Tan Cheng Hoe untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Mongolia pada 22 Mac nanti.

Pasukan PKNS FC sedang berada dalam prestasi terbaik ketika ini. Mampukah Mahali Jasuli mengekalkan rentak semasa sekaligus membantu PKNS membuat kejutan dalam Liga Malaysia sebagaimana Leicester City mengejutkan komuniti bola sepak dunia pada musim 2015/2016 ?

Baca Juga: PKNS Pun Nak Join The Party

Leave a Reply