Sumber Gambar: JST

Johor Darul Ta’zim akan melayani kunjungan Tampines Rovers di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos hari ini dalam perlawanan keempat kumpulan H Piala AFC 2018. Perlawanan ini dianggap sebagai perlawanan penting buat JDT bagi mengejar pasukan yang ketika ini menghuni tangga teratas kumpulan, Song Lam Nghe Anh. JDT ketika ini ketinggalan 3 mata di belakang Song Lam. Jadi mereka wajib mengutip kemenangan hari ini bagi merapatkan kedudukan.

Pada perlawanan hari ini, kami berpendapat JDT akan lebih dominan memandangkan mereka berjaya menguasai sebanyak 60% penguasaan bola dalam 8 perlawanan sebelum ini. Rekod JDT dalam 4 perlawanan setakat ini juga lebih baik dari Tampines. JDT berjaya memenangi 2 perlawanan, seri 1 perlawanan dan tewas 1 perlawanan. JDT juga berjaya menjaringkan 14 gol. Bagi Tampines Rovers pula, mereka masih lagi gagal untuk mengutip kemenangan dalam 4 perlawanan terakhir. Mereka hanya mampu menjaringkan 2 gol. Jika kit amelihat kepada statistik di atas, JDT sepatutnya tiada masalah untuk menewaskan lawan dari seberang tambak ini. Prestasi semasa mereka dilihat jauh lebih baik berbanding lawan mereka hari ini.

Bagi barisan pemain yang akan diturunkan, kami berpendapat Raul Longhi akan menurunkan barisan terkuat JDT hari ini. Nama seperti Marcos Antonio, Harris Harun, Natxo Insa, Safiq Rahim dan Luciano Figueroa akan kembali diturunkan dalam kesebelasan utama. Ketika perlawanan menentang Tampines di Stadium Jalan Besar tempoh hari, kita boleh melihat barisan serangan JDT kekurangan sentuhan penyudah. Jadi dengan adanya Lucho, masalah tersebut sedikit-sebanyak boleh diatasi.

Hanya kemenangan yang akan membuka kembali peluang Johor Darul Ta’zim untuk menghuni tangga pertama peringkat kumpulan. Ini kerana hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak secara automatik ke peringkat seterusnya. Jika JDT menamatkan saingan kumpulan di tangga kedua- maka mereka harus mengharapkan keajaiban untuk layak. Tiada jalan lain, mereka wajib menang hari ini.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan antara Johor Darul Ta’zim menentang Tmapines Rovers hari ini ? Mampukah JDT mengutip kemenangan sekaligus menghuni tangga teratas kumpulan H ?

Baca Juga: Adakah Pembaziran Akan Memberi Impak ?

Leave a Reply