Sumber Gambar: NST

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih pasukan, P.Maniam buat sementara waktu daripada tugas mengendali pasukan. Keputusan P.Maiam direhatkan ini diambil berdasarkan prestasi semasa pasukan yang tidak berada dalam keadaan yang baik. Perkara ini disahkan oleh pengurus pasukan, Datuk Abdul Rauf Ahmad menerusi satu laman bola sepak. Abdul Rauf menyatakan bahawa keputusan untuk merehatkan P.Maniam ini diambil secara kolektif, bukan melibatkan keputusan individu.

Prestasi pasukan Selangor ketika ini memang dalam prestasi yang membimbangkan. Mereka tewas tiga kali berturut-turut dalam sainan Liga Super. Dalam 3 kekalahan tersebut, Selangor dibolosi 10 gol dan hanya mampu menjaringkan 2 gol. Kekalahan kepada pasukan Perak tempoh hari menjadi kekalahan yang paling tidak boleh diterima oleh peminat. Dibolosi 3 gol pada separuh masa pertama sudah menunjukkan bahawa ada yang tidak kena dengan pasukan ketika ini. Hasil daripada kekalahan kepada pasukan Perak, peminat mahukan P.Maniam segera digugurkan atau direhatkan sementara. Mereka juga menggunakan hashtag #ManiamOut di laman media sosial bagi melampiaskan kemarahan mereka.

Tugas P.Maniam akan diambil alih oleh pembantu beliau iaitu Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir. Tugas pertama Nazliazmi mengendalikan Selangor adalah perlawanan Piala FA hujung minggu ini menentang pasukan yang ketika ini berada dalam prestasi terbaik, Terengganu FC. Bukan tugas mudah menanti Nazliazmi untuk perlawanan sulung beliau.

Setelah P.Maniam direhatkan, Datuk Abdul Rauf masih enggan untuk mengesahkan bahawa mereka mahu mencari ketua jurulatih yang baru. Beliau berkata FAS mahu menilai prestasi semasa pasukan di bawah bimbingan Nazliazmi sebelum berkira-kira untuk mengambil khidmat jurulatih baru. Mungkin FAS boleh merujuk kepada senarai yang kami telah sediakan jika mereka mahu mencari jurulatih yang berpengalaman.

Adakah keputusan yang dibuat FAS dengan merehatkan P.Maniam ini adalah satu keputusan yang betul ? Setelah peminat mendapatkan apa yang mereka mahu, adakah mereka akan mula datang ke stadium bagi memberikan sokongan dan juga kepercayaan kepada gergasi yang sedang terluka ini ? Tepuk dada tanya selera sendiri.

Leave a Reply