Sumber Gambar: mStar

Lebih meyakinkan! Haa itulah reaksi penulis apabila pertama kali melihat senarai pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan yang akan bermula pada 18 Mac nanti. Campuran pemain berpengalaman dan juga pemain muda kali ini dilihat boleh memberi nafas baru kepada skuad kebangsaan yang sememangnya perlukan perubahan. Dan satu lagi, tiada kuda tua yang dipanggil! Purata umur pemain yang dipanggil kali ini adalah 24 tahun! Satu purata umur yang boleh dikategorikan muda. Entah bila purata umur skuad kebangsaan kita semuda ini.

Pemain paling tua dalam senarai kali ini ialah pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Natxo Insa yang berusia 32 tahun. Manakala penyerang muda Kedah pula, Akhyar Rashid menjadi pemain paling muda dengan umur 19 tahun. Terdapat 10 pemain daripada pasukan skuad bawah 23 tahun yang beraksi di China tempoh hari. Safiq Rahim, S.Kunanlan, Fadhli Shas dan Khairul Fahmi antara pemain yang mempunyai penampilan terbanyak bersama skuad kebangsaan. Di sini, penulis melihat dari segi Tan Cheng Hoe mahu memberi pendedahan awal kepada pemain muda untuk beraksi di pentas yang lebih besar dengan mewakili skuad senior. TCH mahukan pemain muda ini untuk bersedia dari sekarang bagi memudahkan kerja “peralihan kuasa” daripada pemain senior pada masa akan datang. Lihat saja pemain muda yang dipanggil. Dari posisi penjaga gol sehingga ke bahagian serangan, ada kelibat pemain muda disitu.

Penulis mahu mengucapkan syabas kepada Tan Cheng Hoe kerana melakukan perkara yang jurulatih sebelum ini enggan lakukan, iaitu memanggil pemain muda untuk mewakili skuad kebangsaan. Ketibaan pemain muda ini memang tepat pada masanya kerana TCH harus segera membina pasukan untuk mengharungi perlawanan antarabangsa pada tahun 2018. Skuad senior akan menghadapi temasya Piala AFF Suzuki pada hujung tahun ini. bagi skuad Bawah 23 Tahun Malaysia pula, mereka akan menghadapi saingan Piala Asia pada Ogos nanti yang akan berlangsung di Jakarta dan Palembang. Ini boleh dijadikan motivasi tambahan buat pemain muda untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan tersebut. Syabas di atas panggilan pemain yang meyakinkan ini!

Nota: Ini adalah sekadar pendapat penulis dan tiada kaitan dengan Inikan Bola

Baca Juga: Kesebelasan Utama Pilihan Inikan Bola

Leave a Reply