Sumber Gambar: FAM

Pada perlawanan Malaysia menentang Mongolia semalam, barisan pemain muda yang dipilih oleh Tan Cheng Hoe menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air. Para peminat ternanti-nanti bagaimana aksi mereka yang pertama kali beraksi buat skuad senior negara. Dan boleh dikatakan persembahan mereka semalam agak baik. Kami merasakan kita perlu memberi mereka lebih peluang.

Tan Cheng Hoe memberikan peluang kepada 4 pemain muda untuk tampil dalam kesebelasan utama. Afiq Fazail, Safawi Rashid, Adam Nor Azlin dan Haziq Nadzli diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas pada separuh masa pertama. Afiq dilihat bergelut pada awal perlawanan. Begitu juga Haziq. Namun, Afiq kemudiannya berjaya menyesuaikan diri manakala Haziq pula dilihat gugup sepanjang perlawanan.

Safawi Rasid dan Adam Nor Azlin pula dilihat pemain muda yang paling menyerlah pada separuh masa pertama. Safawi menjadi pemain utama dalam membantu segala gerakan skuad kebangsaan. Kelincahan dan juga kelicikan Pawi nyata menjadi satu beban kepada pertahanan lawan. Bagi Adam Nor Azlin pula, beliau bermain dengan baik bersama Fahdli Shas di bahagian pertahanan. Cuma, hilang fokus pada minit-minit terakhir menjejaskan sedikit persembahan Adam.

Bagi pemain muda yang masuk sebagai pemain gantian pula, kami berpendapat hanya Akhyar Rashid yang menujukkan persembahan cemerlang pada separuh masa kedua. Kelincahan, gelecekkan serta satu gol daripada luar kotak penalti memastikan Malaysia tidak memulakan era di bawah pimpinan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih dengan langkah kiri.

Apa yang pasti, barisan pemain muda yang dipanggil kali ini menunjukkan persembahan yang boleh dipertingkatkan lagi. Kegugupan serta gagal untuk menyesuaikan diri dengan lebih cepat boleh diperbaiki pada perlawanan akan datang. Mungkin Tan Cheng Hoe boleh memberikan peluang kepada pemain muda yang tidak diturunkan pada perlawanan semalam bagi diturunkan pada perlawanan seterusnya.

Kami berharap perlawanan semalam akan menjadi batu loncatan kepada pemain muda yang dipanggil untuk berusaha dan bekerja lebih keras lagi bagi mencapai standard tertinggi. Kami menjangkakan akan melihat kelibat mereka pada perlawanan antarabangsa pada masa akan datang.

Baca Juga: Kekalkan Momentum Ini, Akhyar Dan Safawi

Leave a Reply