Sumber Gambar: Daily Post

Bekas pemenang Piala Dunia 2002, Roberto Carlos memberikan pendapat beliau sekiranya pasukan kebangsaan Malaysia mahu memperbaiki kedudukan mereka dalam ranking FIFA. Bekas pemain Real Madrid dan Inter Milan itu memberikan pendapat bahawa skuad kebangsaan perlu mempunyai barisan kejurulatihan yang berwibawa. Legenda Brazil ini terkejut dengan ranking semasa Malaysia yang berada di kedudukan 178 ketika ini.

Roberto Carlos datang ke Kuala Lumpur untuk dilantik sebagai duta global syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia. Roberto turut menambah bahawa jurulatih pasukan kebangsaan sedia ada harus mempelajari teknik kejurulatihan daripada pasukan terkemuka dunia seperti pasukan kebangsaan Jerman misalnya. Jurulatih tersebut juga perlu memastikan dirinya sentiasa peka dengan perkembangan bola sepak moden, harus sentiasa praktikal dan mahu belajar.

Selain jurulatih, Roberto juga menasihati pemain bola sepak moden agar sentiasa mematuhi arahan jurulatih dan menghormati mereka. Beliau juga menekankan pentingnya mewakili pasukan kebangsaan kerana sebagai pemain bola sepak profesional, tiada apa yang lebih berharga daripada mewakili skuad kebangsaan.

Kami bersetuju dengan pendapat yang dikongsikan oleh Roberto Carlos. Barisan kejurulatihan yang berwibawa sememangnya memainkan peranan besar dalam kemajuan sesebuah pasukan bola sepak. Lihat saja bebrapa pasukan terkemuka dunia seperti Jerman dan Brazil. Mereka sangat berjaya di pentas antarabangsa kerana mempunyai barisan kejurulatihan yang berada di kelas tersendiri.

Sebelum ini, kami pernah menulis tentang bagaimana pasukan kebangsaan India memperbaiki ranking mereka dalam jangka masa 2 tahun. Mereka mengambil barisan kejurulatihan yang mempunyai pengalaman luas di pentas antarabangsa. Sama juga dengan jiran kita, Thailand. Mereka juga mempunyai barisan kejurulatihan yang sangat baik, diketuai oleh Kiatisuk Sinamuang ketika mereka mula bangkit.

Mungkin pendpat Roberto Carlos ini boleh dipertimbangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Mereka harus mempunyai perancangan tentang bagaimana untuk menaikkan kedudukan skuad kebangsaan dalam ranking FIFA. Apatah lagi, ketika ini pasukan negara sedang berada dalam kedudukan yang tidak sepatutnya dalam ranking FIFA.

Apa pendapat anda mengenai pendapat yang diutarakan oleh Roberto Carlos ? Mampukah kita melakukannya ?

Leave a Reply