Sumber Gambar: Twitter Johan Dion Cools

Khabar gembira datang daripada saingan Jupiler League apabila pemain berdarah Malaysia-Belgium, Johan Dion Cools telah melanjutkan kontrak beliau bersama pasukan Club Brugge sehingga musim 2021. Persembahan cemerlang pemain kelahiran Kuching, Sarawak ini nyata menarik minat pengurusan pasukan Club Brugge untuk memberikan kontrak lanjutan kepada beliau.

Dion Cools mula menyertai Club Brugge pada musim 2015. Sebelum menyertai Brugge, Cools bermain buat pasukan OH Leuven selama satu musim. Prestasi Cools setakat ini dalam saingan Liga juga turut memberangsangkan. Beliau berjaya menjaringkan tiga gol dan menyumbangkan tiga assist setakat ini. Boleh tahan persembahan mat saleh ni!

Berkat prestasi cemerlang Dion Cools, jurulatih skuad bawah 21 tahun Belgium, Johan Walem memanggil beliau bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa menentang Belanda Bawah 21 tahun dan Hungary Bawah 21 tahun. Paling manis, Dion Cools berjaya menyumbang satu gol ketika Belgium menewaskan Belanda 4-1. Cools juga disenaraikan dalam kesebelasan utama pada kedua-dua perlawanan ini.

Cools juga berasa bangga kerana dapat melanjutkan kontrak bersama Club Brugge. Beliau menyatakan bahawa ia satu kebanggaan dan juga mimpi yang menjadi kenyataan apabila dapat bermain bersama kelab kegemaran beliau. Cools juga gembira dimana kerja keras beliau dalam proses pembangunan diakhiri dengan tawaran kontrak.

Pengurus Club Brugge, Vincent Mannaert juga merasakan Cools layak untuk terus berada dalam pasukan. Beliau juga melabel Cools sebagai pemain yang mempunyai standard National Promises.

Di sini, kami mahu mengucapkan tahniah kepada Johan Dion Cools yang berjaya mendapat kontrak lanjutan bersama Club Brugge. Semoga pemain kacukan Malaysia yang lain akan berada setaraf dengan kedudukan Dion Cools setakat ini dan seterusnya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Kami juga berharap pencapaian Johan Dion Cools ini akan menjadi inspirasi kepada pemain-pemain muda dalam negara. Pemain seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rashid harus menjadikan Cools sebagai contoh dan patut bermain di luar negara. Ini bagi mengelakkan perjalanan karier mereka berada di kedudukan stagnant ataupun mendatar.

Baca Juga: Mungkinkah Dion Cools Yang Pertama ?

Leave a Reply