Sumber Gambar: Air Times New Network

Mesyuarat khas pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya telah memutuskan untuk mengangkat Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi sebagai pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga kongress FAM yang akan datang pada Julai nanti.

Pelantikan ini dicadangkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan cadangan tersebut diterima oleh semua Exco FAM. Dalam mesyuarat sebentar tadi, para Exco juga menerima keputusan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk meletak jawatan sebagai presiden.

Dalam mesyuarat sebentar tadi, setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mencalonkan diri untuk bertanding jawatan sebagai presiden FAM. Datuk Hamidin sebelum ini mendapat sokongan daripada TMJ untuk menggantikan beliau sebagai presiden. Menurut TMJ, pengalaman yang dimiliki oleh Datuk Hamidin sejak bersama FAM sudah cukup membuktikan bahawa beliau adalah pengganti yang sesuai.

Di sini, kami melihat berkemungkinan besar peminat bola sepak negara akan mendapat presiden baru apabila Kongres FAM dijalankan pada Julai nanti. Datuk Wira Yusoff Mahadi dilihat hanya akan memegang jawatan sebagai pemangku presiden sehingga Kongres FAM dijalankan bagi meneruskan tugas dan juga perancangan yang telah dibuat oleh TMJ sebelum ini.

Jika Datuk Hamidin dilantik sebagai presiden FAM, ini merupakan sejarah baru buat badan induk bola sepak negara itu. Beliau akan menjadi indiviu pertama selain ahli politik dan kerabat diraja yang menjadi presiden.

Kami di Inikan Bola ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tunku Mahkota Johor diatas khidmat dan juga pelbagai usaha yang dilakukan untuk menaikkan mutu bola sepak kebangsaan. Selamat maju jaya kami ucapkan ke atas Tuanku.

Bagi presiden yang seterusnya, ada tanggungjawab besar sedang menanti anda. Banyak perkara yang memerlukan perubahan dan juga pembaharuan. Akan tetapi, apa yang paling penting, presiden baru yang akan dilantik nanti harus mempunyai perancangan bagi menaikkan mutu pasukan kebangsaan ke arah yang lebih baik.

Baca Juga: Era Baru Bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia ?

Leave a Reply