Teka-teki mengenai siapa yang akan menggantikan P.Maniam sebagai jurulatih Selangor masih lagi menjadi tanda tanya apabila hingga saat ini Persatuan Bola Sepak Selangor (FA) masih lagi belum mengumumkan pengganti P.Maniam. Ada dua nama pilihan yang dikaitkan dengan kerusi panas yang ditinggalkan oleh P.Maniam bulan lalu. Jurulatih sementara, Nazliazmi Nassir dan juga legenda Selangor ketika era 90an, Rusdi Suparman dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Naib Presiden FAS, Datuk Abdul Rauf Ahmad menyatakan bahawa Nazliazmi menjadi pilihan utama untuk posisi tersebut. Namun, pihak pengurusan pasukan Selangor masih lagi membuat perbincangan bagi mendapatkan persetujuan daripada barisan Exco FAS.

Jika kita melihat kepada kedua-dua calon jurulatih di atas, masing-masing calon mempunyai kelebihan dan juga pengalaman yang boleh dimanfaatkan oleh pasukan Selangor. Nazliazmi sudah bersama Selangor sejak sekian lama. Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden Selangor.

Bahkan, sesetengah pemain muda dalam pasukan ketika ini adalah anak didik beliau ketika berada dalam skuad Piala Presiden. Jika pihak pengurusan mahu pemain muda ini diketengahkan bakat mereka, maka mengekalkan khidmat Nazliazmi adalah satu pilihan yang tepat.

Bagi Rusdi Suparman pula, beliau juga pernah mengendalikan skuad Piala Presiden Selangor pada musim 2012 hingga 2013. Bekas penyerang prolifik Selangor di era 90an ini menjadi pembantu kepada Ismail Zakaria di Kuantan FA ketika ini.

Beliau juga pernah menjadi pembantu kepada Datuk Ong Kim Swee bersama pasukan Harimau Muda dan skuad bawah 23 tahun negara. Jadi Rusdi mempunyai pengalaman yang boleh digunakan untuk mengendalikan pasukan Selangor.

Siapa pun yang dipilih sebagai jurulatih Selangor, individu tersebut mempunyai tanggungjawab besar bagi mengangkat semula prestasi pasukan yang terumbang-ambing ketika ini. Bak kata Dollah Salleh, bukan senang menjadi jurulatih pasukan besar seperti Selangor.

Apa pendapat anda mengenai Nazliazmi Nassir dan Rusdi Suparman yang dikaitkan sebagai jurulatih baru pasukan Selangor ? Mampukah mereka menjalankan tanggungjawab sekaligus membawa Selangor kembali ke jalan kemenangan ?

Penangan Nazliazmi Memang Lain Macam!

Leave a Reply