Sumber Gambar: ESPN

Dalam kiraan lebih kurang 68 hari lagi, kita sebagai umat Islam akan menyambut hari raya Aidil Fitri. Tapi memandangkan ini adalah tempat kita bercerita mengenai bolasepak, maka pada malam raya, kita akan dihiburkan dengan perlawanan pembukaan Piala Dunia 2018 di antara tuan rumah, Russia menentang Arab Saudi di Stadium Luzhniki, Moscow.

Piala Dunia kali ini mempunyai sejarah tersendiri bagi negara Iceland dan Panama apabila berjaya melayakkan diri untuk pertama kalinya ke pentas Piala Dunia. Namun tahukah anda, terdapat beberapa fakta menarik mengenai Piala Dunia sejak tahun 1930 ini ? ? Kali ini penulis akan memecahkan kepada beberapa siri sejarah Piala Dunia. Penulis akan menggunakan istilah Piala Dunia untuk PD. Stay tuned.

Siri 1 (1930 – 1970)

1. Uruguay dipilih sebagai tuan rumah pertama pada tahun 1930 sempena kemerdekaan negara ke 100. PD 1930 ini sahaja yang tiada perlawanan kelayakan, apabila negara yang ikut serta telah dijemput untuk bertanding.

2. Jaringan pertama yang dijaringkan adalah melalui Lucien Laurent (Perancis). Jaringan sendiri pertama dijaringkan adalah melalui Manuel Rosas (Mexico). Jimmy Douglas (USA) menjadi penjaga gol pertama yang tidak bolos manakala hatrik pertama dijaringkan oleh Bert Patenaude (USA).

3. 3. Walaupun Itali dipilih sebagai tuan rumah PD 1934, mereka juga diharuskan berlawan di kelayakan – satu-satunya negara tuan rumah yang melalui kelayakan. Uruguay sebagai juara bertahan tidak ikut disebabkan ‘merajuk’ dengan negara-negara Eropah yang tidak menghantar ramai wakil ke Uruguay sebelumnya, sekaligus menjadikan Uruguay satu-satunya juara bertahan yang tidak bertanding pada kejohanan seterusnya.

4. PD 1934 (Itali) dan 1938 (Perancis) sahaja tiada peringkat kumpulan, di mana keenam belas negara terus memasuki peringkat kalah mati. Itali berjaya menjadi juara bagi kedua-dua PD tersebut sekaligus menjadi negara pertama mempertahankan kejuaraan.

5. Disebabkan dahulu tiada sistem sepakan penalti selepas tamat masa tambahan, maka perlawanan ulangan diadakan selepas keputusan seri pada masa tambahan. Itali-Sepanyol merupakan perlawanan pertama yang mengadakan perlawanan ulangan selepas seri 1-1 di peringkat suku akhir PD 1934. Itali layak ke separuh akhir selepas menang 1-0 di perlawanan ulangan.

6. Negara Asia pertama yang layak ke PD adalah Hindia Timur Belanda (sekarang Indonesia) pada tahun 1938. Namun negara Asia pertama yang bertanding di peringkat kelayakan adalah Palestin di bawah mandat British (sekarang Israel) dan Turki (bergabung dengan UEFA pada 1962) pada tahun 1934.

7. Pemain pertama yang menjaringkan 4 gol adalah Ernst Wilimowski (Poland) semasa bertemu Brazil di PD 1938. Wilimowski hanya muncul di perlawanan tersebut sahaja, menjadikan Wilimowski pemain dengan nisbah tertinggi jaringan per perlawanan (4).

8. Piala Dunia sempat berehat selama dua edisi (1942 dan 1946) disebabkan Perang Dunia Kedua.

9. Satu-satunya perlawanan akhir yang tidak menggunakan format perlawanan kalah mati adalah PD 1950 di Brazil. Juara peringkat kumpulan daripada 4 kumpulan mara ke pusingan akhir. Uruguay menamatkan pusingan akhir di tempat teratas sekaligus menjadi juara pada tahun tersebut, Brazil di tempat kedua.

10. Uruguay menjulang PD sebanyak dua kali (1930 dan 1950) dengan mengalahkan negara Amerika Selatan/CONMEBOL, dengan Argentina (1930) dan Brazil (1950) menjadi naib juara. Kedua-dua perlawanan akhir ini merupakan satu-satunya perlawanan akhir sesama negara CONMEBOL.

11. Itali selaku juara pada edisi 1938, datang ke PD 1950 sebagai juara bertahan. Namun mereka gagal melepasi peringkat kumpulan, menjadikan Itali juara bertahan yang gagal layak ke pusingan seterusnya. Rekod buruk ini diulangi oleh Brazil (1966), Perancis (2002), Itali kembali (2010) dan Sepanyol (2014).

12. England yang dipercayai sebagai negara kelahiran sukan bolasepak, sebenarnya baru pertama kali layak ke PD pada tahun 1950. Namun di PD 1950 jugalah mereka mendapat malu besar apabila kalah 0-1 dengan USA.

13. Argentina pernah bertanding pada PD 1958, namun kerana lupa membawa jersi belang biru putih semasa berlawan di stadium Malmo menentang Jerman Barat, maka mereka terpaksa meminjam baju kelab Malmo.

14. PD 1958 juga merupakan penampilan keempat-empat negara British (England, Scotland, Ireland Utara, Wales) buat kali pertama sehingga hari ini.

15. Brazil menjulang PD 1958. Mereka juga menjadi negara kedua selepas Itali yang berjaya mempertahankan kejuaraan, apabila berjaya menjadi juara pada tahun 1962 di Chile.

16. . PD 1962 di Chile sebenarnya dibayangi kejadian gempa bumi berskala 9.6 skala Richter (terbesar dalam sejarah) yang melanda negara tersebut 2 tahun sebelumnya.

17. PD 1962 juga menjadi pentas bagi 3 pemain pertama yang membuat penampilan bersama negara kedua. Mereka adalah Ferenc Puskas (Hungary, kemudian Sepanyol), Jose Santamaria (Uruguay, kemudian Sepanyol) dan Jose Altafini (Brazil, kemudian Itali).

18. Geoff Hurst menjadi pemain pertama menjaringkan hatrik di perlawanan akhir Piala Dunia.

19. PD 1970 di Mexico merupakan PD pertama yang disiarkan di televisyen secara berwarna. PD ini juga menggunakan bola Telstar sebagai bola rasmi, penggunaan sistem kad kuning-merah pertama, dan purata gol dijaringkan setiap perlawanan merupakan yang tertinggi selama sejarah PD (2.97 gol per perlawanan).

20. Jurulatih Brazil, Mario Zagallo merupakan orang pertama yang menjuarai PD sebagai pemain (1956 dan 1962) dan jurulatih (1970). Ini kemudian diikuti oleh Franz Beckenbauer dari Jerman (1974 sebagai pemain dan 1990 sebagai jurulatih).

Nantikan sambungan kepada fakta Piala Dunia pada masa akan datang!

Baca Juga: 6 Jersi “Home” Piala Dunia Pilihan Inikan Bola

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Leave a Reply