Sumber Gambar: Bola.com

Johor Darul Ta’zim akan bertandang ke Stadion Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) bagi menghadapi Persija Jakarta dalam perlawanan yang boleh dianggap perlawanan penentuan kedua-dua pasukan. Sesiapa yang memenangi perlawanan ini, maka peluang untuk mara ke pusingan seterusnya semakin cerah. Di sini, kami mahu membincangkan tentang penyerang sensasi Persija, Marko Simic.

Marko Simic bukanlah asing dalam saingan Liga Malaysia. Pada awal musim lalu, Simic beraksi dengan baik bersama pasukan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Perdana. Beliau berjaya menjaringkan 6 gol sepanjang separuh masa pertama saingan Liga Super.

Berkat persemmbahan cemerlang Simic, Melaka United yang ketika itu sedang dilanda krisis di bahagian serangan berminat dengan khidmat Simic. Melaka tidak menunggu masa yang lama untuk menyambar beliau. Simic dibawa masuk bagi menggantikan penjaring terbanyak Melaka musim sebelumnya, Ilija Spasojevic.

Bersama Melaka, prestasi Simic nyata tidak mengecewakan. Beliau berjaya menjaringkan 9 gol dan membantu Melaka terselamat daripada jatuh ke saingan Liga Perdana musim ini. Namun, walaupun berjaya membantu Melaka untuk kekal, khidmat Simic tidak disambung dan beliau digantikan oleh Yahor Zubovich musim ini.

Prestasi Simic bersama kelab baru beliau, Persija Jakarta juga amat memberangsangkan. Simic membantu Persija memenangi Piala Presiden, sebuah kejohanan pra musim di Liga Indonesia dengan menewaskan Bali United di perlawanan akhir. Beliau juga menjadi penjaring terbanyak kejohanan dengan 11 gol. Boleh tahan untuk pemain yang ditolak oleh Kelantan pada awal musim ini.

Berbekalkan pengalaman bermain di Liga Malaysia dan juga prestasi semasa yang baik, sudah pasti Persija mengharapkan Marko Simic untuk merobek gawang JDT dan mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat seterusnya.

Persija Jakarta juga mahu membalas dendam di atas kekalahan mereka pada laga pembukaan di mana mereka tewas 2-0 di Larkin.

Apa pendapat anda mengenai Marco Simic yang bakal menjadi senjata utama Persija dalam mencari kemenangan pada perlawanan esok ? Mampukah bekas penyerang Melaka ini merobek gawang Johor Darul Ta’zim ?

Baca Juga: Penyokong JDT Dikepung ? Apa Cerita ?

Leave a Reply