Sumber Gambar: Indosport.com

Jika kita bercakap mengenai bola sepak Indonesia, nama Bambang Pamungkas dan juga tahap fanatik penyokong mereka akan muncul di fikiran kita. Hari ini, pasukan Johor Darul Ta’zim akan menghadapi Persija Jakarta di Stadion Utama Gelora Bung Karno. Selain halangan dan cabaran daripada Persija, JDT juga akan menghadapi halangan daripada peminat setia Persija iaitu The Jakmania.

Halangan yang penulis maksudkan di sini ialah cabaran untuk bermain di hadapan ribuan penyokong Persija. Ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Persija menentang Arema FC, perlawanan ini mencatat rekod kehadiran penonton iaitu seramai 60,000 jumlah penyokong yang hadir ke perlawanan tersebut.

Itu baru perlawanan Liga domestik. Belum lagi perlawanan penentuan di peringkat Asia seperti perlawanan hari ini. Jumlah kehadiran penonton seramai 60,000 dilihat boleh dicapai sekali lagi memandangkan perlawanan hari ini merupakan perlawanan penting bagi kedua-dua pasukan.

Para pemain Johor Darul Ta’zim harus mempersiapkan mental dan juga fizikal mereka dengan baik bagi mengharungi perlawanan hari ini. Bukan satu tugas yang mudah untuk memberi sepenuh perhatian apabila seseorang pemain itu bermain di hadapan penyokong yang begitu ramai. Mesti ada saja gangguan.

Mujur JDT ada pemain yang mempunyai pengalaman bermain di hadapan ribuan penyokong Indonesia. Pemain seperti Aidil Zafuan, Safiq Rahim dan S.Kunanlan pernah bermain di Stadium Gelora Bung Karno ketika Malaysia menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir Piala AFF 2010.

Jadi, sedikit-sebanyak ketiga-tiga pemain ini boleh membantu pemain lain seperti pemain muda, Safawi Rasid dan penyerang utama, Hazwan Bakri untuk menyesuaikan diri terhadap permainan.

Satu cabaran yang sukar menanti pemain Johor Darul Ta’zim di Stadium Utama Gelora Bung Karno hari ini. Akan tetapi, mereka harus menumpukan sepenuh perhatian mereka jika ingin mengutip kemenangan. Jangan biarkan chanting dan juga tekanan daripada The Jakmania menggangu fokus anda.

Jika mengutip kemenangan pada hari ini, maka peluang JDT untuk mara ke peringkat seterusnya akan kembali terbuka.

Baca Juga: Kemenangan Bermakna Segala-Galanya!

Leave a Reply