Sumber Gambar: FA Selangor

Masa depan pemain tengah import Selangor, Alfonso De La Cruz menjadi tanda tanya setelah kelibat beliau tidak kelihatan dalam lima perlawanan terakhir pasukan Red Giants. Pemain yang dibawa masuk oleh jurulatih Selangor sebelumnya, P.Maniam ini dilihat tidak menjadi pilihan utama jurulatih Selangor yang baru, Nazliazmi Nasir untuk diturunkan dalam kesebelasan utama mahupun diletakkan di bangku simpanan.

Pada empat perlawanan di bawah kendalian P.Maniam, Alfonso selalu menjadi pilihan untuk digandingkan dengan Evan Dimas di bahagian tengah pasukan. Namun, persembahan beliau yang diletakkan sebagai “destroyer” dilihat sedikit bergelut. Alfonso cenderung untuk naik ke atas dan meninggalkan ruang besar di bahagian tengah.

Apabila P.Maniam direhatkan dan digantikan dengan Nazliazmi, Alfonso terus disisihkan kerana Nazliazmi lebih gemar meletakkan Abdul Halim Zainal di posisi pemain tengah bertahan. Mungkin beliau sudah mengenal pasti masalah di bahagian tengah pasukan Selangor.

Posisi sebenar Alfonso juga bukanlah sebagai pemain tengah bertahan melainkan sebagai seorang pertahanan tengah. Akan tetapi, dalam pasukan Selangor sudah ada Willian Pacheco sebagai pertahanan tengah utama. Jadi, kami merasakan Selangor membuat kesilapan apabila mereka memutuskan untuk membawa masuk Alfonso.

Sepatutnya pengurusan Selangor membawa masuk pemain yang sememangnya pemain murni di posisi pemain tengah bertahan. Ataupun, mereka boleh membawa masuk pemain tengah menyerang untuk membantu Evan Dimas merancang gerakan serangan.

Sekarang ini, masih belum jelas sama ada Nazliazmi masih mahu menggunakan khidmat Alfonso ataupun tidak. Jika beliau digantikan, kami merasakan Selangor akan membawa seorang pemain tengah menyerang. Jika beliau dikekalkan, beliau akan bersaing dengan Abdul Halim Zainal bagi posisi pemain tengah bertahan pasukan.

Apa pendapat anda mengenai situasi Alfonso De La Cruz bersama pasukan Selangor ketika ini ? Adakah Selangor perlu mengekalkan khidmat beliau dan memberikan peluang kepada Alfonso untuk membuktikan bahawa beliau masih lagi relevan untuk dikekalkan?

Ataupun Selangor boleh melepaskan Alfonso bagi mencari pemain import yang lain untuk membantu jentera serangan pasukan ?

Baca Juga: Selangor Yag Ini Lebih Meyakinkan

Leave a Reply