Persembahan pemain Persija ketika menewaskan Johor Darul Ta’zim 4-0 semalam nyata mendapat pujian segelintirpeminat bola sepak negara. Penguasaan penuh serta semangat yang ditunjukkan sememangnya layak untuk mengutip kemenangan. Di sini, kami tertarik dengan persembahan dua pemain Persija iaitu pemain sayap, Riko Simanjuntak dan pemain pertahanan, Rezaldi Hehanusa.

Riko beraksi dengan begitu baik di posisi sayap kanan. Larian pantas dan juga kawalan bola yang sangat baik yang ditunjukkan oleh Riko berjaya menyumbang kepada gol pertama dan juga gol keempat yang dijaringkan oleh Marko Simic.

Riko juga berjaya membuatkan Fazly Mazlan dan Azrif Nasrulhaq seperti pemain yang tiada pedoman apabila mereka berdua berhadapan dengan beliau. Dengan senang Riko melepasi kedua-dua pemain pertahanan JDT ini.

Bagi Rezaldi pula, kualiti hantaran bola serta aspek bertahan baik yang dimiliki beliau nyata memberikan sumbangan besar kepada kemenangan Persija semalam. Sama seperti Riko, Rezaldi berjaya menyumbang assist kepada gol kedua Marko Simic melalui sepakan percuma beliau.

Dari segi bertahan, Rezaldi dilihat tenang dan mudah untuk mematahkan segala gerakan serangan JDT dari sebelah kiri. Walaupun Hazwan dan Darren Lok silih berganti cuba untuk mengasak Rezaldi, namun beliau tiada masalah untuk mematahkan segala gerakan kedua-dua pemain.

Dengan persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemain pada perlawanan semalam, kami berpendapat Riko dan Rezaldi berpotensi untuk bermain dalam saingan Liga Malaysia. Kebolehan yang dimiliki kedua-dua pemain ini boleh dimanfaatkan oleh pasukan dalam negara.

Jika Riko beraksi di Liga Malaysia, menarik untuk kita saksikan bagaimana beliau bersaing dengan Mohamadou Sumareh, Chan Vathanaka dan Ilham Udin sebagai pemain sayap yang mempunyai kepantasan yang luar biasa. Indonesia sememangnya tidak pernah gagal untuk melahirkan pemain sayap yang berkualiti.

Apa pendapat anda mengenai dua pemain Persija iaitu Riko Simanjuntak dan Rezaldi Hehanusa yang mempunyai potensi untuk bermain di Liga Malaysia ? Kira-kira pasukan mana yang sesuai dengan gaya permainan kedua-dua pemain ?

Baca Juga: Mana Nahkoda Kapal Yang Tenggelam Ni ?

Leave a Reply