Sumber Gambar: Kelantan FA

Banyak perkara yang berlaku semenjak Fajr Ibrahim dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan. Bermula daripada penggunaan telefon bimbit yang diharamkan semasa sesi latihan sehinggalah kepada pelepasan beberapa pemain. Baru-baru ini, ada desas-desus mengatakan bahawa sikap Fajr Ibrahim ini tidak disenangi oleh pemain dan juga pegawai pasukan.

Sebab utama mengapa sikap Fajr ini tidak disenangi adalah kerana beliau tidak menghormati barisan pemain dan juga pegawai pasukan. Fajr juga dikatakan gemar untuk menggunakan bahasa kasar ketika mengendalikan sesi latihan pasukan. Selain penggunaan bahasa kasar, Fajr juga sering mengherdik pemain dan juga pegawai.

Tindakan Fajr untuk membatalkan perlawanan persahabatan antara pasukan Kelantan menentang kelab Thailand, Pattani FC juga mengundang kritikan daripada peminat. Alasan beliau membatalkan perlawanan tersebut adalah mahu menumpukan latihan dan juga aspek taktikal pasukan untuk menghadapi Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga pada 14 April ini.

Bukan peminat Kelantan saja yang mengkritik, malah pihak Pattani FC juga kecewa dengan tindakan Kelantan yang membatalkan perlawanan persahabatan pada saat akhir. Segala persiapan sudah dibuat bagi menyambut pasukan Kelantan. Namun, batang hidung pun tidak kelihatan.

Memang tidak dinafikan macam-macam isu yang timbul sejak beliau tiba di bumi Kelantan. Akan tetapi, banyak yang negatif berbanding yang positif yang selalu kita lihat di media sosial dan juga keratan akhbar. Ini nyata berbeza daripada yang diharapkan oleh peminat.

Apa yang pasti, perkara ini harus ditangani dengan segera oleh presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan bagi mengelakkan masalah ini daripada menjejaskan prestasi pasukan. Apa yang diperlukan pasukan Kelantan ketika ini ialah semua pihak memainkan peranan bagi mengembalikan prestasi pasukan ke jalan kemenangan. Bukannya isu yang boleh menjatuhkan mereka.

Apa pendapat anda mengenai desas-desus yang mengatakan bahawa sikap Fajr Ibrahim ini tidak disenangi oleh para pemain dan juga pegawa pasukan ? Adakah perkara ini boleh menjejaskan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super sekaligus menyukarkan mereka untuk bangkit ?

Baca Juga: Garangnya Fajr Ibrahim Ni!

Leave a Reply