Sumber Gambar: Kelantan FA

Nik Akif Syahiran berjaya menyelamatkan maruah Fajr Ibrahim daripada tercalar pada perlawanan pertama beliau sebagaii jurulatih Kelantan apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir ketika Kelantan seri dengan pasukan Negeri Sembilan semalam.

Fajr Ibrahim melakukan sedikit kelainan apabila menggabungkan pemain muda seperti Nik AKif Syahiran dan juga pemain senior dalam kesebelasan yang beliau turunkan. Walaupun kita lihat pemain muda yang diturunkan masih lagi kelihatan gugup dan gagal untuk menyesuaikan diri dengan perlawanan dengan cepat, namun pendekatan yang diambil Fajr harus diberi pujian.

Selain itu, Fajr juga menurunkan ketiga-tiga pemain import yang dimiliki oleh pasukan ketika ini. Namun persembahan Do Dong-hyun dan Mohammed Ghaddar yang juga dipilih sebagai ketua pasukan agak mengecewakan malam ini. Mereka gagal untuk mencipta dan juga mencari peluang di hadapan gol pasukan lawan.

Bagi Negeri Sembilan pula, hanya nasib tidak menyebelahi mereka semalam. Setelah membuka tirai jaringan menerusi Flavio Beck Junior pada awal permainan, mereka bermain baik dengan berjaya mematahkan gerakan serangan yang diatur oleh pasukan Kelantan.

Namun, kehilangan fokus pada minit-minit akhir perlawanan menghukum mereka. Penyerang import Negeri Sembilan, Nicolas Velez yang kembali daripada kecederaan dilihat agak bergelut dalam perlawanan semalam.

Walau apa pun, keputusan seri bermakna kedua-dua pasukan tidak berganjak daripada kedudukan terkini iaitu Kelantan di tangga yang ke-11 manakala Negeri Sembilan menghuni tangga ke-12. Kami berpendapat Fajr Ibrahim harus mencari formula untuk menajamkan jentera serangan pasukan.

Sama halnya dengan pasukan Negeri Sembilan. Azraai Khor harus segera memperbaiki aspek serangan Negeri Sembilan bagi memastikan mereka mula menjaringkan gol dan segera keluar dari zon penyingkiran.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan pertama Fajr Ibrahim dalam kancah Liga Super ? Adakah corak permainan yang digunakan oleh beliau mampu menyelamatkan Kelantan ? Dan apakah langkah yang harus diambil oleh Azraai Khor bagi membawa Negeri Sembilan ke arah kemenangan pada perlawanan akan datang ?

Baca Juga: Berbaloikah Pertaruhkan Pemain Muda Untuk Membawa Cabaran ?

Leave a Reply