Sumber Gambar: mStar

Bekas pemain Kedah dan skuad kebangsaan, Radhi Mat Din telah didaftarkan sebagai calon Parti Islam Se Malaysia (PAS) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi Parlimen Pokok Sena. Pencalonan Radhi diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.

Siapa yang tidak kenal dengan legenda pasukan Kedah yang satu ini. Radhi yang bermain di posisi tengah menghabiskan karier profesional beliau bersama pasukan Kedah dari tahun 1986 hinggalah tahun 2000. Selain itu, Radhi juga memegang jawatan ketua pasukan paling lama iaitu dari tahun 1991 hingga 2000.

Dalam era Radhi bergelar sebagai pemain Kedah pada era 80an dan 90an, pasukan Kedah nyata mempunyai era yang boleh dikatakan era gemilang pasukan ketika itu. Radhi berjaya membantu Kedah layak ke enam perlawanan akhir Piala Malaysia, dimana beliau memenangi edisi 1990 dan 1993.

Radhi juga berjaya membantu Kedah memenangi kejuaraan Piala FA pada tahun 1996 dan satu kejuaraan Divisyen 1 pada 1993. Radhi juga diangkat sebagai pemain terbaik dalam Liga Malaysia pada musim 1993 setelah membantu Kedah memenangi Piala Malaysia dan Divisyen 1.

Pemain yang mendapat gelaran Captain Marvel dek kerana gaya permainan yang mirip dengan bekas pemain tengah Manchester United dan England, Bryan Robson ini mewakili pasukan kebangsaan selama empat tahun dari 1989 hingga 1993.

Bersama pasukan kebangsaan, Radhi merupakan sebahagian daripada pasukan yang memenangi pinbat emas Sukan SEA 1989 dengan menewaskan pasukan Singapura dalam perlawanan akhir.

Setelah bersara dari dunia bola sepak profesional, Radhi Mat Din pernah menjadi pembantu jurulatih pasukan Kedah dibawah Azraai Khor Abdullah. Bersama Azraai, Radhi berjaya membimbing Kedah memenangi double treble pada 2007 dan 2008.

Kini, setelah sekian lama berita mengenai Radhi tidak didengari oleh peminat, beliau memutuskan untuk menyertai kancah politik dan akan bertanding pada Pilihan Raya yang akan diadakan pada 9 Mei ini.

Apa pendapat anda mengenai hala tuju yang dipilih oleh Radhi Mat Din yang terjun ke kancah politik ? Adakah beliau membuat keputusna yang baik ? Atau beliau harusnya kekal untuk berkhidmat dalam arena bola sepak ?

Baca Juga: Kedah Lebih Menguasai Dari Segala Aspek

Leave a Reply