Sumber Gambar: FAM

Sebentar tadi berlangsung undian bagi kejuaraan Piala Asia Bawah 16 Tahun yang akan diadakan dari 20 September hingga 7 Oktober 2018 dengan disertai 16 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan. Malaysia diletakkan dalam kumpulan A bersama pasukan Jepun, Thailand dan Tajikistan. Peluang Malaysia untuk mara ke peringkat separuh akhir dilihat seimbang.

Malaysia akan diwakili oleh anak-anak buah Lim Teong Kim daripada National Football Development Program (NFDP) dalam kejohanan tersebut. Lim Teong Kim menyatakan keyakinan beliau terhadap peluang Malaysia dalam kejohanan tahun ini selepas gagal untuk beraksi dengan baik pada kejohanan 2016 lalu.

Di sini, kami melihat pasukan negara mempunyai peluang yang seimbang untuk mengharungi cabaran dalam peringkat kumpulan dan mara sehingga ke separuh akhir. Amat penting untuk Malaysia mara ke peringkat separuh akhir kerana dengan tiket tersebut kita akan layak secara automatik ke temasya Piala Dunia Bawah 17 Tahun di Peru tahun hadapan.

Para pemain juga sudah beraksi bersama-sama untuk satu tempoh masa yang lama. Satu lagi faktor ialah pasukan negara kita akan beraksi di laman sendiri kali ini. Jadi, sokongan padu peminat sudah pasti akan menaikkan lagi semangat mereka dalam mencari keputusan positif.

Kejohanan kali ini juga menjadi medan buat Lim Teong Kim untuk membuktikan bahawa program NFDP di bawah kendalian beliau sudah berjaya membuahkan hasil dengan lahirnya anak-anak muda yang mampu untuk menggalas cabaran negara pada masa akan datang.

Apa pendapat anda mengenai peluang Malaysia untuk mara ke peringkat separuh akhir kejuaraan Piala Asia Bawah 16 Tahun yang akan diadakan di bumi Malaysia ? Mampukah kita layak sekaligus mendapat slot automatik ke temasya Piala Dunia Bawah 17 Tahun di Peru tahun hadapan ?

Baca Juga: Peluang Untuk Layak Ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun Cerah

Leave a Reply