Sumber Gambar: IBTimes UK

Legenda Arsenal, Tony Adams baru-baru ini menghantar permohonan bagi mengisi jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Singapura. Bekas ketua pasukan Arsenal ini sebelumnya menjadi pengurus pasukan Liga Sepanyol, Granada.

Perkara ini sememangnya mengejutkan ramai pihak kerana bukan pasukan kebangsaan Singapura yang mahukan khidmat beliau. Adams menghantar sendiri permohonan untuk mengisi jawatan tersebut. Bekas pemain Arsenal ini mempunyai pengalaman menjadi jurulatih di tiga negara berbeza sebelum ini.

Pasukan pertama yang diuruskan oleh Adams adalah kelab bawahan England, Wycombe Wanderers pada musim 2003, sejurus selepas beliau bersara daripada dunia bola sepak profesional. Akan tetapi, bersama Wycombe Adams hanya kekal selama semusim.

Pemain pertahanan yang membuat sebanyak 504 penampilan bersama Arsenal sepanjang karier beliau ini kemudiannya menjadi jurulatih Portsmouth pada musim 2008/2009. Adams berjaya membimbing Portsmouth menamatkan saingan di tangga ke-14 pada musim tersebut.

Setelah membimbing Portsmouth, Adams kemudiannya menjadi pengurus kelab Azerbaijan, Qabala FK. Sama seperti Portsmouth, Adams hanya membimbing Qabala selama satu musim.

Setelah berehat lama dari dunia kejurulatihan, Adams kembali membimbing kelab Sepanyol, Granada pada musim 2016/2017. Akan tetapi, Adams gagal untuk menyelamatan Granada daripada terjatuh ke Divisyen kedua Liga Sepanyol setelah Granada menamatkan saingan di tangga tercorot.

Tony Adams setakat ini tidak mempunyai pengalaman menguruskan pasukan kebangsaan dalam karier kejurulatihan beliau. Adams juga mempunyai kecenderungan untuk mengurus sesebuah pasukan hanya dalam satu musim sahaja.

Jika benar pasukan kebangsaan Singapura menerima permohonan Adams dan menjadikan beliau sebagai ketua jurulatih yang baru, Adams hanya perlu menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak Asia Tenggara. Peminat bola sepak Singapura sudah pasti mahu jurulatih luar seperti Radojko Avramovic untuk mengendalikan pasukan kebangsaan mereka.

Apa pendapat anda mengenai permohonan Tony Adams yang mahu menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Singapura ? Jika beliau dilantik sebagai ketua jurulatih, mampukah beliau menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak Asia Tenggara sekaligus mengangkat Singapura di pentas antarabangsa ?

Baca Juga: Ada Benarnya Kata-Kata Roberto Carlos

Leave a Reply