Sumber Gambar: Sarawak Crocs

Di saat kita sentiasa mendapat berita dan maklumat mengenai Liga Super, Liga Premier dan Liga FAM sebagai liga dari 3 divisyen teratas, kita terlupa bahawa sistem kasta bolasepak Malaysia juga memiliki liga divisyen 4, yang dikenali sebagai Liga Bolasepak Rakyat (LBR). Malahan, untuk musim ketiga penganjuran LBR sejak 2015-16, perlawanan akhir di antara Tawau dan Rantau Panjang-EJD akan berlangsung secara timbal balik di Kompleks Sukan Tawau dan Stadium Sultan Mohamad ke IV.


Sumber Gambar: Liga Bolasepak Rakyat FB

LBR yang pertama kali diperkenalkan oleh bekas Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai batu loncatan mengembangan bakat pemain tempatan di setiap daerah. LBR disertai oleh setiap daerah (jajahan bagi Kelantan, dan bahagian bagi Sarawak) dan pemain haruslah berumur 28 tahun ke bawah. Tidak seperti musim liga divisyen teratas yang bermula pada awal tahun, musim LBR bermula pada bulan September dan berakhir pada Mei tahun berikutnya, hampir menyerupai liga utama di Eropah.

Untuk musim 2017-18, semua daerah/jajahan/bahagian bagi masing-masing negeri di Malaysia menghantar wakil untuk LBR, kecuali negeri Johor kerana Johor mempunyai sistem liga tersendiri bagi 10 daerah di sana. Bagi peringkat awal, 12 negeri dan 3 wilayah persekutuan dipecah kepada 8 zon, iaitu zon Utara, zon Barat, zon Tengah 1, zon Tengah 2, zon Selatan, zon Timur, zon Borneo 1 serta zon Borneo 2.

Bukan semua daerah di dalam sesebuah negeri akan menghantar wakil, seperti Negeri Sembilan yang mempunyai 7 daerah, hanya menghantar 6 wakil sahaja, kerana Jelebu tidak menghantar wakil. Ada juga daerah yang menghantar kelab yang bernaung di daerah tersebut, seperti Batu (Tentera Darat FA) dan Kepong (Premier FC) di Kuala Lumpur, atau menghantar institut pengajian yang berada di daerah tersebut, seperti Bachok (UMK FC) dan Ketereh (Politeknik Kota Bharu) di Kelantan serta Padang Besar di Perlis (UNIMAP).

Peringkat awal kelayakan menggunakan sistem peringkat kumpulan, dengan setiap zon mempunyai dua (zon Selatan), tiga (zon Barat, Tengah 1, Borneo 2) atau empat (zon Utara, Tengah 2, Timur dan Borneo 1) kumpulan. Perlawanan diadakan pada bulan September hingga Disember 2017, dengan perlawanan di antara Gua Musang FA dan Setiu Tigers FC dari kumpulan D zon Timur menjadi perlawanan pembukaan musim ini pada 8 September 2017 di Stadium Sultan Mohamad ke IV, Kota Bharu.

Setiap juara kumpulan akan layak ke perlawanan play-off (kecuali zon Selatan) untuk menentukan 2 wakil setiap zon bagi peringkat kebangsaan. Sejumlah 16 buah pasukan mewakili 16 daerah di Malaysia akan dikelompokkan dalam 4 kumpulan berbeza dalam peringkat kebangsaan. Bagi peringkat kebangsaan yang bermula pada 27 Januari 2018, juara dan naib juara kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati. Semua perlawanan akan diadakan secara timbal balik. Juara musim lepas, Gua Musang tersingkir di peringkat kebangsaan apabila menghuni tangga tercorot Kumpulan C. Begitu juga naib juara musim 2015-16 dan 2016-17, Serian dan Padang Besar yang tersingkir seawal peringkat kelayakan.


Sumber Gambar: Liga Bolasepak Rakyat FB

Bagi perlawanan akhir musim ini, perlawanan diadakan secara timbal balik seperti musim lepas. Hanya pada perlawanan akhir musim pertama LBR sahaja yang diadakan di gelanggang berkecuali, di Stadium Selayang, menyaksikan Kuching FA menjuarai LBR musim tersebut mengalahkan Padang Besar. Oleh itu, FAM menawarkan dua slot kepada finalis LBR ke Liga FAM musim 2017, namun ditolak oleh Padang Besar atas sebab kewangan. Begitu juga dengan finalis musim lepas, Gua Musang dan Serian yang menolak slot ke Liga FAM atas sebab kewangan. Besar kemungkinan, kedua-dua finalis LBR musim ini juga ditawarkan slot ke Liga FAM 2019.

Secara tidak langsung, LBR mampu mencungkil bakat muda dari pelbagai daerah di negara ini. Bahkan pemain Kuching FA pernah diambil oleh Sarawak dalam saingan Liga Super 2017 seperti Zul Mohi, Izzray Iffarul Roslan dan Hafiz Abu Bakar. Pemain profesional yang lain juga pernah bermain di LBR, seperti penjaga gol FELCRA, Syamim Othman yang bermain di Kepong Premier FC.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC

Baca Juga: Dari University: Dari Liga IPT Ke Liga Premier

Leave a Reply