Sumber Gambar: Myjoyonline.com

Bekas pemain Chelsea dan Persib Bandung, Michael Essien mengintai peluang untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Setelah beraksi di Indonesia, nampaknya Essien sudah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran bola sepak Asia Tenggara.

Setelah dilepaskan oleh Persib Bandung selepas hanya semusim bermain bersama mereka, Essien masih lagi belum mewakili mana-mana pasukan. Tahun lalu, bola sepak Asia Tenggara dikejutkan apabila Persib Bandung berjaya menandatangani bekas pemain Chelsea dan Real Madrid tersebut.

Jika dilihat dari segi pengalaman, tidak usah diragukan lagi dengan pengalaman yang dimiliki oleh Essien. Beliau telah memenangi beberapa kejuaraan besar seperti Liga Perdana Inggeris dan juga Piala FA ketika beraksi bersama Chelsea.

Essien juga pernah mewakili pasukan kebangsaan Ghana dalam temasya Piala Dunia. Jadi Essien ini seperti pemain tengah yang serba lengkap.

Jika beliau mahu bermain dalam saingan Liga Malaysia, pasukan-pasukan yang mahukan khidmat beliau harus membayar harga yang tinggi untuk membayar gaji Essien. Ketika di Persib, Essien dikhabarkan menjadi antara pemain yang menerima gaji tertinggi dalam Liga Indonesia.

Seterusnya, kemampuan Essien untuk bermain secara kerap dan juga 90 minit akan menjadi salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan. Ini kerana beliau sudah mencecah 35 tahun. Jadi, tahap stamina serta kecergasan beliau sudah pasti berbeza.

Walau apa pun, jika benar ada pasukan yang akan mengambil khidmat Essien, maka beliau akan membawa impak yang tersendiri kepada saingan Liga Malaysia. Michael Essien boleh menjadi mentor kepada pemain muda negara untuk mempertingkatkan corak permainan mereka.

Apa pendapat anda mengenai Michael Essien yang mahu bermain dalam Liga Malaysia? Pasukan mana yang mampu untuk membayar gaji beliau.

Baca Juga: 5 Pemain Bertaraf Bintang Yang Pernah Bermain dalam saingan Liga Malaysia

Leave a Reply