Sumber Gambar: Goal.com

Pelantikan Mario Lemos sebagai jurulatih pasukan Negeri Sembilan bagi menggantikan Azraai Khor Abdullah nyata mengejutkan para peminat dan juga penulis sendiri. Di sini, penulis mempunyai satu persoalan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan. Apa pencapaian yang dimiliki oleh Mario Lemos ni sehingga diberi jawatan ketua jurulatih ?

Dikhabarkan Mario Lemos ni ialah bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Bangladesh. Akan tetapi, menurut The New Nation, Lemos hanya memegang jawatan sebagai ketua fisioterapi ketika bersama pasukan Bangladesh. Jawatan ketua jurulatih sebaliknya dipegang oleh Andrew Ord.

Jika apa yang dilaporkan oleh The New Nation mengenai Lemos ini hanyalah pakar fisioterapi ketika bersama pasukan kebangsaan Bangladesh, maka pelantikan beliau sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan boleh dipersoalkan.

Walaupun dikhabarkan beliau pernah melatih kelab amatur Korea, TNT FC dan menjadi penolong ketua jurulatih ketika bersama pasukan Thailand, Muangthong United, namun memberikan tanggungjawab sebesar ini kepada jurulatih berusia 34 tahun ini merupakan satu risiko yang besar.

Apa lagi dengan kedudukan semasa Negeri Sembilan yang ketika ini berada di tangga tercorot Liga Supe. Penulis berpendapat Negeri Sembilan perlu mengekalkan khidmat Azraai dan perlu memberikan lebih masa dan juga peluang untuk Azraai mengangkat semula kedudukan Negeri Sembilan.

Mario Lemos menjadi jurulatih ketiga yang menguruskan Negeri Sembilan musim ini. Pada awal musim, Jorg Steinebrunner diberi tanggungjawab untuk menguruskan pasukan. Namun, beliau kemudiannya dipecat kerana prestasi yang tidak memberangsangkan.

Pada Mac, Azraai Khor diberi tanggungjawab untuk menggantikan Jorg. Namun, minggu lalu, alasan yang sama digunakan oleh PBNS bagi menggantikan beliau dengan Mario Lemos.

Apa yang pasti, besar tanggungjawab yang menanti lemos bagi memastikan Negeri Sembilan tidak tersingkir hanya selepas semusim bermain dalam saingan Liga Super. Beliau perlu mempunyai perancangan yang rapi serta perlu bekerja keras untuk memastikan Negeri Sembilan segera mengutip kemenangan.

Adakah Mario Lemos ini adalah jurulatih yang sesuai untuk menyelamatkan musim Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super musim ini ?

Baca Juga: Ujian Pertama Buat Mario Lemos

Leave a Reply