Kuota pemain import Asean mula diperkenalkan pada saingan Liga Malaysia musim 2018. Sejak diperkenalkan, kita sudah melihat pasukan-pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana mengambil khidmat pemain Asean bagi memperkukuhkan pasukan.

Namun, ada beberapa dakwaan mengatakan bahawa pemain import Asean ini tidak membawa sebarang impak kepada pasukan. Malah pasukan hanya melakukan pembaziran apabila mereka mengambil pemain import Asean.

Memang tidak dinafikan ada sesetengah pemain import Asean yang menunjukkan prestasi yang tidak baik. Akan tetapi, ada juga pemain yang berjaya menampilkan prestasi yang cemerlang bersama pasukan.

Antara pemain yang tidak beraksi dengan baik dan telah pun digugurkan adalah Prak Mony Udom, Keo Shokpeng dan Chan Vathanaka. Manakala Ferdinand Sinaga pula menamatkan kontrak beliau bersama Kelantan.

Dan pemain Asean yang menunjukkan prestasi yang baik setakat ini adalah Harris Harun, Thierry Chanta Bin dan Evan Dimas. Tiga pemain ini telah berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapan oleh ketua jurulatih.

Di sini penulis tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa pemain import Asean ini tidak memberi sebarang impak kepada pasukan dan hanya membazir saja apabila mengambil khidmat mereka. Pengambilan pemain import Asean ini seharusnya berkisarkan dengan keperluan pasukan dan juga ketua jurulatih.

Bukannya dengan menggunakan terma asalkan ada pemain import Asean dalam pasukan. Ini yang menjadi kesilapan beberapa pasukan yang mengambil khidmat pemain import Asean.

Mereka hanya mengikut peraturan yang ditetapkan secara membabi buta tanpa mengkaji terlebih dahulu apa yang sebenarnya pasukan mahu daripada pemain import Asean ini. Mereka harus melihat lebih dari sekadar menjadikan pemain import Asean ini sebagai alat ppemasaran bagi pasukan.

Walau apa pun, penulis berpendapat pengenalan kuota Asean ini adalah satu perkara yang baik dan boleh mendatangkan hasil kepada saingan Liga Malaysia sendiri. Selain daripada target market yang lebih luas, kita juga boleh menyaksikan barisan pemain Asean terbaik beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Baca Juga: Apa Tujuan Sebenar Ambil Pemain Import

Leave a Reply