Sumber Gambar: FAM

Semalam, dunia sukan Malaysia dikejutkan dengan berita bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Tan Sri Elyas Omar meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN). Seluruh warga sukan nyata terkesan dengan pemergian individu yang banyak berjasa kepada negara terutamanya dalam sukan bola sepak dan badminton.

Ketika Tan Sri Elyas menjadi presiden KLFA, pasukan Kuala Lumpur berjaya memenangi treble Piala Malaysia pada tahun 1987 hinggalah 1989 dengan menewaskan pasukan Kedah dalam perlawanan akhir.

Ketika di bawah naungan Tan Sri Elyas, beberapa nama besar terlahir daripada pasukan ibu kota. Antaranya ialah Subadron Aziz yang berjaya menjaringkan gol pada perlawanan akhir edisi 1988 dan 1989. Selain Subadron Aziz, Razip Ismail dan Mat Zan Mat Aris turut menjadi tunjang pasukan dalam kemenangan pada 1989.

Tan Sri Elyas juga pernah menjawat sebagai Pengerusi projek skuad Piala Dunia Belia FIFA 1997. Di mana ketika itu, Malaysia menjadi tuan rumah kepada temasya tersebut.

Selain sukan bola sepak, Tan Sri Elyas juga memberikan sumbangan besar terhadap sukan badminton. Beliau pernah memegang jawatan sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1985 hingga 1993. Di bawah naungan beliau, Malaysia berjaya menjadi juara Piala Thomas pada 1992. Sehingga kini, skuad negara masih kempunan untuk mengulangi pencapaian tersebut.

Wartawan sukan senior negara, Rizal Hashim menyifatkan Tan Sri Elyas ini sebagai tokoh budiman. Beliau merupakan seorang yang terbuka kepada perbezaan pendapat.

Kehilangan Tan Sri Elyas Omar ini sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam kerana jasa beliau dalam sukan dan juga pembangunan kota Kuala Lumpur. Beliau merupakan satu pemimpin yang patut dijadikan contoh oleh pemimpin muda ketika ini.

Baca Juga: Dato’Paduka Ahmad Asri Bakil, Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah

Leave a Reply