Sumber Gambar: MMFC News Portal

Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sah melepaskan jawatan beliau selaku presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA). Kami melihat bekas presiden terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah calon yang sesuai bagi menerajui badan tersebut.

Selain Datuk Seri Bashah, dua lagi pengurusan tertinggi iaitu Setiausaha Kehormat, Datuk Aminuddin Omar serta Bendahari, Datuk Yusof Ismail juga melepaskan jawatan masing-masing. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Nama Datuk Seri Mukhriz bukanlah satu nama yang asing dalam arena bola sepak Kedah. Beliau pernah memegang jawatan sebagai presiden KFA pada 2013 hingga Februari 2016 ketika beliau menjadi menteri besar negeri Kedah ketika itu.

Di bawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz, Kedah berjaya memenangi Liga Perdana pada musim 2015 dan Kedah juga berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia namun tewas kepada pasukan Selangor.

Walaupun pada mulanya Kedah hanya mampu menamatkan saingan Liga Perdana di tangga keempat pada musim 2013 dan 2014, namun dengan adanya Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih dan pemain import yang dibawa masuk seperti Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva, Kedah berjaya menjadi juara dan bermain di saingan Liga Super pada musim 2016.

Menurut Datuk Syed Unan Mashri, Datuk Seri Mukhriz ada bertanyakan mengenai prestasi semasa pasukan dan juga kedudukan terkini kewangan pasukan. Namun masih belum ada kata putus sama ada Datuk Seri Mukhriz mahu kembali sebagai presiden KFA.

Kami berpendapat Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah calon yang sesuai untuk memegang jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kedah. Ini kerana beliau sudah mempunyai pengalaman menguruskan badan tersebut. Beliau juga tahu selok-belok dalam KFA.

Apa pendapat anda mengenai perletakkan jawatan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kedah ? Adakah Datuk Seri Mukhriz Mahathir ialah calon yang sesuai untuk menggantikan beliau ?

Atau ada nama lain yang dilihat mampu menggalas tanggungjawab sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kedah ?

Baca Juga: Paulo Rangel Semakin Hampir Menyertai Kedah

Leave a Reply