Sumber Gambar: Fox Sport Asia

Pasukan Negeri Sembilan menjalani musim yang sukar dalam saingan Liga Super musim ini. Hanya mengutp satu kemenangan dan menduduki tangga tercorot Liga merupakan pencapaian pasukan dalam saingan Liga setakat ini. Belum lagi pertukaran jurulatih yang dilakukan oleh pengurusan pasukan.

Apa yang menjadi persoalan di kalangan peminat adalah tindakan pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) yang secara tiba-tiba menamatkan kontrak Azraai Khor Abdullah yang baru dua bulan menguruskan pasukan.

Pengurus pasukan Negeri Sembilan, Dato’ Haslah Mohamad Amin menjelaskan khidmat Azraai ditamatkan selepas mereka mengkaji secara mendalam prestasi pasukan itu sepanjang dibawah bimbingan bekas jurulatih Kedah itu.

Pengganti Azraai pula ialah jurulatih muda bernama Mario Lemos. Lemos dikatakan pernah menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Bangladesh. Walaupun rekod asal beliau mengatakan Lemos hanyalah pakar fisioterapi pasukan.

Sesetengah penyokong Negeri Sembilan nyata mempersoalkan keputusan yang diambil PBNS ini. Mereka berpendapat Azraai Khor patut diberi lebih banyak peluang dan masa untuk memperbaiki pretasi pasukan.

Di sini penulis setuju dengan pandangan di atas. Tempoh masa yang digunakan oleh PBNS untuk menilai prestasi Azraai sebagai jurulatih adalah sangat singkat. Mereka sekurang-kurangnya perlu memberi waktu kepada Azraai sehingga jendela perpindahan kedua ditutup bagi memperkuatkan pasukan.

Dan ketika ini Mario Lemos diberi tanggungjawab untuk menyelamatkan musim pasukan Negeri Sembilan. Pengurusan pasukan memberi sasaran kepada Lemos iaitu kekal dalam saingan Liga Super. Satu misi yang boleh dikatakan sukar.

Di sini penulis hendak bertanya kepada PBNS. Adakah posisi jurulatih pasukan Negeri Sembilan akan bertukar sekali lagi selepas ini ? Mungkinkah akan ada tiga lagi pertukaran jurulatih bagi melengkapkan enam jurulatih yang pernah menguruskan pasukan Negeri Sembilan ?

Diharapkan perkara tersebut tidak berlaku. Apa yang perlu dilakukan oleh PBNS ketika ini ialah memberi sokongan kepada Mario Lemos untuk membentuk dan memantapkan pasukan Negeri Sembilan.

Penulis berpendapat penukaran jurulatih secara kerap ini tidak akan membantu sesebuah pasukan. Malah ianya akan menggangu rentak pasukan tersebut.

Leave a Reply