Sumber Gambar: FA Selangor

Pasukan Selangor mengambil keputusan untuk mengekalkan barisan pemain import sedia ada. Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Ibrahim.

Menurut Rosman, pengurusan pasukan mahu mengekalkan khidmat kesemua pemain import kerana jika pasukan mahu menamatkan kontrak pemain tersebut, maka pampasan yang harus dibayar adalah sangat tinggi. Tambah Rosman, pemain import Selangor telah menunjukkan prestasi yang baik.

Keputusan pengurusan Selangor ini nyata mengundang kritikan daripada peminat setia pasukan Selangor. Mereka berpendapat sekurang-kurangnya dua pemain import harus diganti iaitu Alfonso De La Cruz dan Ilham Udin Armayn. Kedua-dua pemain ini dilihat tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Satu lagi nama yang dikhabarkan bakal dilepaskan ialah Evan Dimas. Ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir telah mengkritik persembahan yang ditampilkan oleh dua pemain Indonesia ini ketika Selangor seri dengan pasukan Johor Darul Ta’zim.

Penulis berpendapat pengurusan Selangor perlu melihat semula kepada persembahan yang ditampilkan oleh kelima-lima pemain import mereka. Dari kaca mata penulis, ketika ini hanya Rufino Segovia, Willian Pacheco dan Evan Dimas saja yang patut dikekalkan.

Manakala bagi Alfonso dan Ilham, mereka boleh digantikan dengan pemain import yang lain. Alfonso boleh digantikan dengan seorang pemain tengah bertahan bagi memberi kestabilan di bahagian tengah manakala Ilham boleh digantikan dengan pemain sayap yang lebih baik berbanding beliau.

Walau apa pun, jika mengekalkan pemain import ini dilakukan dengan tujuan untuk menjaga kantung pasukan, maka penulis berpendapat ianya tiada masalah untuk dilakukan. Seperti yang penulis terapkan sebelum ini, jika kita mahu berbelanja dalam jendela perpindahan kali ini, lihat dulu kantung pasukan. Sama ada mampu atau tidak.

Jika mampu, maka teruskan. Jika tidak, lebih baik gunakan pemain sedia ada. Ini untuk mengelakkan pasukan ditimpa masalah pada masa akan datang.

Apa pendapat anda mengenai keputusan Persatuan Bola Sepak Selangor yang mengekalkan kesemua pemain import mereka ? Pemain import mana yang sepatutnya digugurkan bagi memberi laluan kepada pemain import baru ?

Leave a Reply