Sumber Gambar: Felcra FC

Pasukan Felcra FC menjadi silent killer dalam saingan Liga Perdana musim ini apabila mereka masih belum lagi merasai kekalahan dan menduduki tangga kedua dibelakang pasukan Felda United. Siapa sangka pasukan yang baru bermain dalam saingan Liga Perdana boleh mencabar bagi tempat ke saingan Liga Super musim hadapan.

Sebelumnya, Felcra layak bermain di Liga Perdana musim ini bagi menggantikan pasukan Sime Darby FC yang dibubarkan sebelum bermulanya musim 2018. Pasukan berstatus kelab ini kemudiannya melakukan beberapa penambahbaikan dengan membawa masuk jurulatih baru dan juga empat pemain import.

Felcra melantik pengendali berusia 38 tahun dari Brazil, Tarcisio Pugliese dan mengambil khidmat empat pemain import iaitu bekas pemain Kuala Lumpur, Leo Carioca dan Casagrande, pemain Indonesia, David Laly dan pemain dari Brazil, Endrick Santos.

Selain empat pemain import di atas, Felcra turut diperkuatkan dengan bekas pemain skuad kebangsaan iaitu Shahrom Kalam dan bekas ketua pasukan skuad Harimau Muda, Fandi Othman.

Setakat 10 perlawanan Liga Perdana, Felcra berjaya memenangi empat perlawanan dan seri enam perlawanan. Felcra juga masih lagi belum merasai kekalahan dalam saingan Liga. Dan mereka menjadi satu-satunya pasukan dengan rekod tersebut dalam saingan Liga.

Pencapaian semasa Felcra banyak dibantu oleh kecemerlangan pemain import mereka iaitu Casagrande dan David Laly. Bekas penyerang Kuala Lumpur ini menjadi penjaring terbanyak Liga dengan perolehan 13 gol setakat ini.

Manakala David Laly pula menampilkan persembahan yang cemerlang dari posisi sayap pasukan. Laly juga berjaya memenangi anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana bagi bulan April 2018.

Semalam, Felcra berjaya menewaskan pasukan Terengganu FC II dengan keputusan 3-1. Casagrande menjadi watak utama apabila berjaya menjaringkan hatrik dalam perlawanan semalam. Casagrande juga menjadi pemain pertama yang memperoleh dua hatrik musim ini.

Dengan kemenangan semalam, Felcra FC berjaya mengekalkan kedudukan di tangga kedua dan kekal berada lapan mata dibelakang pendahulu, Felda United.

Jika Felcra berjaya mengekalkan rentak cemerlang mereka, tidak mustahil musim hadapan kita akan melihat kelibat mereka dalam saingan Liga Super.

Baca Juga: 5 Pemain Asean Yang Beraksi Dengan Baik Setakat Ini

Leave a Reply