Sumber Gambar: Football Tribe

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Kevin Ramalinggam menyatakan tidak mustahil akan ada pasukan yang ditendang dari saingan Liga Malaysia jika mereka masih lagi berdegil untuk menyelesaikan masalah perlesenan kelab

Tambah Kevin, beliau menjangkakan masalah mengenai perlesenan pasukan akan terus berlaku walaupun pihak MFL telah berulang kali mengingatkan dan memberi amaran keras kepada semua pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia.

Menurut Kevin lagi, kedegilan pihak pengurusan yang masih lagi berada di takuk kuno menjadi penyebab utama mengapa sesetengah pasukan gagal untuk melengkapkan perlesenan pasukan. Perkara tersebut juga telah membuatkan pasukan turun pangkat dan bermain di Divisyen bawahan.

Penulis bersetuju jika MFL mengambil pendekatan menendang keluar pasukan yang masih gagal untuk melengkapkan proses perlesenan kelab mereka. Sepeti yang berlaku kepada pasukan Felda United musim ini.

Felda terpaksa bermain dalam saingan Liga Perdana setelah mereka gagal untuk mendapatkan lesen FAM dan juga AFC. Hasilnya, tempat mereka dalam saingan Liga Super musim ini diambil alih oleh pasukan PKNP FC.

Jika tiada tindakan yang dikenakan sekiranya sesebuah pasukan itu gagal untuk melengkapkan perlesenan pasukan, maka pasukan tersebut tidak akan bergerak maju ke hadapan sampai bila-bila pun.

Mereka akan kekal di takuk lama dan juga mempunyai mentaliti zaman dulu-dulu. Dan apabila itu terjadi, maka pasukan dan juga peminat yang bakal dirugikan.

Sebelum ini, pengelola Liga Malaysia itu mengesahkan semua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super perlu melengkapkan pendaftaran dan juga dokumen untuk mendapatkan lesen kelab bagi membolehkan mereka bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.

Bagi saingan Liga Perdana, penguatkuasaan perlesenan kelab akan dimulakan musim hadapan dan mereka perlu melengkapkan segala dokumen bagi membolehkan pasukan untuk bertanding dalam saingan Liga Perdana musim 2020.

Untuk makluman, setiap pasukan yang memohon lesen kelab perlu melepasi penilaian dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, perundangan, kewangan dan perniagaan seperti termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Edisi 2017.

Baca Juga: Semoga Menjadi Pengajaran Kepada Semua ?

Leave a Reply