Sumber Gambar: MFL

Bulan Ramadan telah tiba, namun berbeza dengan musim sebelumnya, Liga Bolasepak Malaysia masih berjalan di bulan Ramadan ini. Untuk musim lepas, Liga Super memerlukan lebih kurang 8 bulan untuk 22 perlawanan . Namun bagi musim ini, tiada rehat sempena bulan Ramadan, menyebabkan jangka masa Liga Super menjadi 6 bulan dengan jumlah perlawanan yang sama.

Dengan jumlah perlawanan yang sedikit ini, menyebabkan kemeriahan liga bagaikan mudah diramal. Lihat saja selepas tamatnya pusingan pertama liga, kemenangan JDT ke atas pasukan tercorot liga, Negeri Sembilan, JDT telah menjarakkan mata kepada 8 mata dengan Perak di tempat kedua.

Kajian kes seperti ini mengingatkan saya dengan liga bolasepak di Scotland dan Ukraine, di mana kedua-dua liga tersebut juga mempunyai 12 pasukan di divisyen teratas, dan mengambil masa lebih kurang 8 bulan dengan 32 perlawanan liga di Ukraine atau 38 di Scotland. Kedua-dua liga bermula
pada Julai dan kemudian berehat pada Disember sempena rehat musim sejuk, sebelum disambung
kepada Februari.

Selepas 22 perlawanan, mereka akan mengharungi perlawanan tambahan, di mana secara ringkasnya, 6 pasukan di tempat teratas akan berlawan sesama sendiri bagi menentukan kejuaraan dan yang layak ke perlawanan Eropah, sementara 6 pasukan di tempat terbawah akan menentukan siapa yang bakal tersingkir ke divisyen kedua.

PRO

Saya melihat konsep liga mereka ini boleh dibawa ke Liga Super kita untuk musim mendatang. Bukan
sahaja pemain perlu mengharungi minit perlawanan lebih banyak, namun tiada lagi masalah kecergasan pemain disebabkan kurangnya perlawanan.

Penyokong akan lebih disajikan dengan perlawanan yang lebih kerap, dan juga saingan kejuaraan dan penyingkiran akan lebih menarik. Mungkin dominasi JDT masih kekal, namun persaingan merebut kejuaraan semakin menarik dengan 5 pasukan kuat lainnya akan menyaingi pasukan Harimau Selatan tersebut.

Bagi pasukan lain, permasalahan gaji pemain tidak menjadi masalah apabila mereka bermain sehingga akhir musim – jika mengambil kira pasukan tersebut gagal layak ke Piala Malaysia, dan Piala Cabaran masih belum dilaksanakan. Hak penyiaran televisyen kepada pasukan juga bertambah seiring dengan semakin banyaknya perlawanan yang akan disiarkan.

KONTRA

Permasalahan yang akan timbul ialah kos sesebuah pasukan untuk ke stadium pasukan lawan. Bukan
merendahkan pasukan dari Sabah dan Sarawak, mereka akan lebih banyak ‘terbang’ ke semenanjung yang mungkin meningkatkan perbelanjaan pasukan.

Selain itu, perubahan jadual yang tidak lazim dijalankan ini akan mengundang satu polemik kekeliruan peminat bolasepak, seperti pada musim lepas di mana perlawanan Piala Malaysia bermula pada pertengahan liga berjalan, dan penentuan pasukan yang layak ke Piala Malaysia berdasarkan kedudukan liga selepas pusingan pertama liga.

Belum lagi tarikan penonton yang kurang, walaupun JDT merupakan pasukan juara namun status tersebut tidak dapat menarik ramai penonton ke Stadium Larkin.

CADANGAN

Bagi saya, perlawanan liga bolasepak sebenar dijalankan seperti biasa dalam 6 bulan pertama, begitu juga
dengan perlawanan Piala FA. Selepas 22 perlawanan liga, maka 6 pasukan teratas bersaing untuk
merebut kejuaraan liga, dan 6 pasukan terbawah bersaing untuk menentukan 2 pasukan yang akan tersingkir.

Jadinya, kesemua pasukan akan bertambah 10 perlawanan, dan jangka masa ini membolehkan perlawanan Piala Malaysia dijalankan, sehingga pasukan yang berada di tempat tercorot liga yang tidak layak ke Piala Malaysia tidak akan ‘menganggur’ sehingga akhir tahun. Ini membolehkan sesebuah pasukan dapat menggilir pemain, kerana ada sesetengah pasukan yang menganggap kedudukan liga lebih penting berbanding kejohanan Piala Malaysia.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Leave a Reply